KETIKA filem dibuka memaparkan seorang penulis skrip wanita, Lee, terbata-bata mencari kata yang paling cermat untuk dimuatkan ke dalam tulisan. Kita tahu dia sedang berhadapan kemarau ilham, seolah segala idea yang dituangkan seperti terpaksa diperah-perah.
Lee, wanita asal Korea Selatan yang berhijrah untuk berkarya di Jepun sebenarnya menuang sedikit sebanyak rasa keterasingan, sunyi dan kerinduan kepada sebuah pengalaman yang teringin dia miliki.
Banyak orang menyangka rindu adalah tentang sesuatu yang sudah berlalu. Tapi saya selalu merasakan kata rindu memiliki makna lebih kompleks daripada itu. Rindu semacam syahdu terbit apabila kita menyedari setiap yang diinginkan tidak berada dalam genggaman.

Lee, ketika menghasilkan skrip cerita tentang Nagisa, iaitu perempuan dan lelaki asing bernama Natsuo di tepi pantai, sebenarnya menulis cebis-cebis dirinya.
Kita tahu dia ingin menjadi Nagisa iaitu perempuan yang tidak takut kepada apapun, keberaniannya berjalan sendiri untuk mengenal dunia. Namun sebahagian dirinya yang lain adalah Natsuo yang canggung, tidak tahu bagaimana mahu memulakan percakapan walaupun isi perbahasan mereka berdua adalah tentang kesepian juga rasa terpinggit kerana memiliki tingkat yang jauh berbeza daripada masyarakat.
Oleh itu saya berpendapat, ketika Lee gugup menjawab soalan yang diajukan pelajar selepas sesi tayangan, bukan sebab dia dungu atau takut cakap merapu. Tapi ada gelisah memukul dada kerana tahu suara yang terbenam dalam diri kini boleh ‘didengar’ banyak orang. Tidak semua dapat menangkap itu kecuali Profesor Uonuma.

Selepas sesi tamat, Uonuma berbasa-basi bertanya apakah projek seterusnya yang ingin dihasilkan Lee. Lelaki itu nampak kurang senang mendengar Lee mahu menuliskan skrip tentang Ninja (yang diminta klien) sangat jauh daripada jiwa Lee. Tapi Uonuma seperti orang tua yang penuh hikmah yang kita jumpa di dunia nyata, selalu ada cara menyampaikan nasihat dan jalan keluar dengan cara paling sederhana.
Dia memberikan dua ‘wasiat’ sebelum ajalnya tiba iaitu agar pertama, Lee keluar mengembara. Kedua, ambil sebanyak mungkin gambar. Di sinilah saya kemudian tersedar, pengarah Two Seasons, Two Strangers, Sho Miyake seperti cuba bermain dengan realiti walau saya tidak pasti adakah dia sengaja membuat ‘perangkap’ itu.

Kita, iaitu penonton turut berada dalam naratifnya ketika dia bermain dengan teknik bingkai di dalam bingkai. Bingkai filem pertama, bingkai filem kedua yang ditulis Lee, juga bingkai kamera sepanjangnya mengembara.
Lee kemudian mengembara ke pergunungan bersalji sendirian, berbeza dengan musim panas dalam filemnya. Di kehidupan nyata, dia membawa roh Nagisa. Kemudian menginap di sebuah rumah penginapan kecil yang diuruskan seorang tua bernama Benzo. Lama kelamaan kita faham bahawa mereka berdua memiliki persamaan iaitu rasa sunyi dan terasing dari kehidupan.
Menerusi gambar-gambar yang diambil Lee, dia menyedari bahawa selama ini dia tidak benar-benar melihat. Melalui potret yang diambil, Lee cuba untuk merasai apa yang dilalui orang-orang, bagaimanapun Lee sedar bahawa orang di dalam gambarnya tetap orang asing. Kita tidak akan benar-benar memahami kesepian dan kerinduan yang dilalui mereka di dalam gambar.
Saya fikir Two Seasons, Two Stranger seperti sebuah filem yang membahaskan tentang sebuah epidemik kesepian yang melanda dunia sekali gus memberikan cadangan untuk keluar daripadanya. Ia sebuah filem yang indah, syahdu dan berseni menjadikannya antara filem kesukaan saya untuk tahun ini.

