am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk yang juga bekas pengarah besar sebuah badan berkanun kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 60-an dan 50-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Mereka disyaki terbabit dalam pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Beliau berkata, kedua-dua individu itu juga disyaki terbabit dalam urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada syarikat yang ada kepentingan dengan syarikat pemaju.
“Siasatan mendapati perbuatan itu dilaksanakan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dengan kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.
Minggu lalu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Abd Halim dilapor berkata penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA itu memfokuskan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara tahun 2010 hingga 2020.
Daripada jumlah itu, enam kertas siasatan baharu sudah dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan sedang menjalani proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Kertas siasatan berkenaan merangkumi isu pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.
Siasatan turut difokuskan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dugaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti semula secara selari, menjadikan keseluruhan kes yang dikaji beroperasi di bawah tujuh kertas siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
