Warga emas bakar kereta, berhalusinasi ada pasangan buat 'projek' dalam kenderaan itu

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gara-gara berhalusinasi mendakwa melihat dua individu melakukan hubungan intim dalam kereta, seorang lelaki warga emas dipercayai membakar kenderaan itu dalam kejadian di Jalan Midah 1, Cheras, di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, lelaki itu disyaki berhalusinasi melihat seorang lelaki warga asing dan seorang wanita masuk ke dalam kereta berkenaan untuk melakukan hubungan intim sebelum dia mengetuk pintu kenderaan kerana beranggapan ada orang di dalam.

Dia kemudiannya dipercayai mencampakkan bahan bakar di bawah kereta berkenaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbakar.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 62 tahun itu dalam tempoh kurang 24 jam di kawasan Desa Tun Razak, di sini, selepas kejadian terbabit.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sebotol cecair disyaki ‘thinner’ yang dipercayai digunakan sebagai bahan bakar dalam kejadian.

“Ketika kejadian, warga emas itu yang bekerja sebagai tukang paip dipercayai di bawah pengaruh dadah,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau, namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek direman tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan polis mendapat arahan untuk menuduh suspek mengikut seksyen sama.

Katanya, susulan itu, lelaki terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, namun tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Lelaki itu diperintahkan untuk ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan semula kes pada 26 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top