Krisis adat dijangka berpanjangan

Seremban: Krisis berkaitan adat dan politik di Negeri Sembilan dijangka akan berpanjangan sekiranya Kerajaan Negeri Sembilan tidak menyelesaikannya dalam waktu terdekat.

Ia berikutan terdapat dakwaan bahawa Menteri Besar Datuk Ismail Lasim yang didakwa sudah menandatangani proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanapun dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan Ismail pagi tadi, beliau menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

“Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sumber rapat dengan perkara itu tetapi enggan dikenali memberitahu Harian Metro berkata, proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar adalah sah dan penurunan takhta Tuanku Muhriz juga adalah sah.

“Tidak dapat dipastikan mengapa dan sebabnya Menteri Besar masih memberi sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz dalam kenyataan media hari ini,” katanya.

Semalam, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong mendakwa Ismail sudah menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.

Ismail didakwa menandatangani proklamasi dalam satu pertemuan di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada tarikh berkenaan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan itu, mereka mendakwa Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar menerima menghadap Ismail di Istana Laguna Biru.

Pertemuan itu diadakan bagi memperkenankan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Dalam majlis mengadap itu, Ismail turut menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi mengikut Perkara 10 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selaras dengan kewajipan perlembagaan beliau, di hadapan Raja Pemerintah Negeri Sembilan dan tetamu jemputan yang hadir dalam upacara ringkas yang diakhiri dengan bacaan doa selamat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, mereka menggesa proklamasi itu dikuatkuasakan serta-merta bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Maka dengan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan semua ahli pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan disabdakan untuk mematuhi proklamasi itu dengan serta-merta dan menjunjung keluhuran Perlembagaan tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Proklamasi yang didakwa ditandatangani Ismail pada 3 Ogos.

Mereka turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz tidak pernah mencabar penurunan takhta baginda pada 19 April mengikut Perkara 10(2) UUTKNS) 1959 di mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top