Kerjasama kukuh ekosistem pengusaha stesen minyak

Kuala Lumpur: Agrobank dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem pengusaha stesen minyak, khususnya di kawasan pertanian dan luar bandar.

Kerjasama itu membuka ruang kepada pengusaha BHPetrol untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan, sokongan pembangunan perniagaan, pembangunan kapasiti dan promosi bersama menerusi kepakaran serta rangkaian kedua-dua organisasi.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada keperluan pengusaha BHPetrol, terutama dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan dan sokongan pembangunan perniagaan.

“Bagi pengusaha yang ingin membangunkan atau mengembangkan stesen BHPetrol, akses kepada pembiayaan yang bersesuaian adalah antara keperluan utama.

“Melalui kerjasama ini, Agrobank dapat menyokong pengusaha bukan sahaja daripada segi pembiayaan, malah melalui pembangunan perniagaan dan peningkatan kapasiti,” katanya.

MoU itu dimeterai Tengku Ahmad Badli Shah mewakili Agrobank manakala BHPetrol diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fardzi Shah Razali, pada majlis di Pameran Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di Serdang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top