Anak Krakatau meletus: Penerbangan Jakarta dilencongkan ke Kertajati

Jakarta: Beberapa penerbangan ke Jakarta dirancang untuk dilencongkan ke Lapangan Terbang Kertajati di Jawa Barat susulan abu gunung berapi Gunung Anak Krakatau yang meletus Jumaat lalu.

Dari lapangan terbang itu, penumpang akan meneruskan perjalanan mereka dengan bas dan kereta api berkelajuan tinggi Whoosh.

Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya mengumumkan demikian semalam, sambil menambah bahawa pelarasan penerbangan dibuat termasuk penggantungan sementara operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta disebabkan situasi berkaitan Gunung Anak Krakatau yang semakin berubah.

“Beberapa penerbangan ke Jakarta, terutamanya dari Garuda telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Kertajati di Jawa Barat. Perkhidmatan bas dan Whoosh akan disediakan dari Kertajati ke Jakarta,” katanya yang dilapor Antara.

Beliau turut memaklumkan syarikat kereta api negara, PT Kereta Api Indonesia sudah menambah perjalanan ke Jakarta dari Surabaya, Malang, Semarang, dan Yogyakarta, yang mana lapangan terbang beroperasi seperti biasa.

Bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat abu gunung berapi, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memakai pelitup dan topeng ketika berada di luar rumah, selain menjaga kebersihan diri.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa enam lapangan terbang ditutup sementara disebabkan oleh kesan abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau.

Lapangan terbang tersebut termasuk Lapangan Terbang Radin Inten di Lampung, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Tangerang, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Lapangan Terbang Pondok Cabe, Lapangan Terbang Budiarto di Curug, Tangerang dan Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), gempa bumi berterusan Anak Krakatau bermula pada 11.07 malam Jumaat lalu dan berakhir pada 12.04 tengah malam Ahad (6 Sept).

Walaupun letusan berterusan sudah berakhir, Gunung Anak Krakatau masih aktif dengan risiko letusan selanjutnya yang agak tinggi yang boleh menyebabkan lontaran batu panas, hujan abu lebat dan aliran lava.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top