Kanak-kanak 9 tahun antara 6 hilang dalam pendakian Gunung Trans Gerah

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memaklumkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun antara enam individu yang dilaporkan dikhuatiri hilang ketika mendaki Gunung Trans Gerah di Gua Musang.

Pengarahnya Farhan Sufyan Borhan berkata, mereka juga sudah mengenal pasti kesemua identiti individu yang dikhuatiri hilang termasuk empat beranak itu.

“Dua malim gunung yang dikenal pasti adalah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, sementara identiti empat beranak itu adalah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaikha Norizan, 39, serta dua anak mereka iaitu Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raief, 9.

“Empat beranak berkenaan dari Selangor yang memulakan pendakian bermula di Gua Musang pada 29 Ogos dan sepatutnya tiba di Pos Kemar, Perak pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi.

Semalam media melaporkan, enam individu termasuk empat beranak dikhuatiri hilang selepas mendaki gunung di Gua Musang pada 29 Ogos lalu.

Kesemua mereka termasuk dua malim gunung sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu namun sehingga kini gagal dihubungi.

Semalam media melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu membabitkan empat sekeluarga dan dua malim gunung yang dikhuatiri hilang selepas memasuki hutan di Gua Musang akan dimulakan hari ini dengan bantuan helikopter.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dilaporkan berkata, helikopter akan digunakan bagi mengesan mangsa serta menjejak laluan yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top