am@hmetro.com.my
Kangar: Kelewatan pengagihan baja sebatian tambahan (Baja 3) memaksa segelintir pesawah di negeri ini mengeluarkan modal sendiri bagi membeli bekalan alternatif di pasaran luar demi menyelamatkan tanaman padi mereka.
Seorang pesawah di kawasan Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, Mohd Noor Hashim, 63, berkata, dia masih belum menerima bantuan baja itu memandangkan bekalan dilaporkan baru sahaja tiba di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Beliau berkata, setakat ini hanya beberapa orang sahaja yang sudah menerima manfaat itu, sementara bekalan yang baru tiba di PPK daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) masih di peringkat awal edaran.
“Dianggarkan 78 peratus lagi pesawah di sini masih belum menerimanya. Sedangkan usia tanaman padi di kawasan seluas dua hektar yang saya usahakan kini sudah melebihi 70 hari,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagi mengelakkan kerugian yang lebih teruk, Mohd Noor terpaksa membeli baja ganti di luar pada harga RM70 untuk satu beg berikutan kelewatan itu.
“Saya memerlukan lapan beg untuk keluasan dua hektar yang menelan belanja sehingga RM560. Jika sebelum ini, hasil padi mampu mencapai antara lima hingga enam tan metrik sehektar, kini ia dijangka merosot sehingga 30 peratus ekoran kelewatan pembajaan ini.
“Pendapatan saya daripada RM10,000 sehektar dijangka susut kepada RM7,000 sahaja. Empat bulan membanting tulang di bendang, pendapatan saya kini hanya sekitar RM1,750 sebulan atau RM58 sehari,” katanya.
Beliau berkata, situasi ketika ini berbeza berbanding masa lalu apabila ketiga-tiga jenis baja sudah tersedia sebelum bermulanya musim tanaman, namun kini usia padi sudah melepasi dua bulan tetapi baja masih belum tiba.
Sementara itu, nasib berbeza dialami seorang lagi pesawah, Zamzuri Ishak, 42, yang sudah menerima dan menggunakan baja itu lebih awal.
“Saya bernasib baik kerana sudah menerima Baja 3 sejak dua bulan lepas dan telah pun menaburnya di sawah.
“Namun, masih ada pesawah lain yang terpaksa menunggu giliran penerimaan masing-masing berikutan proses pertukaran syarikat pengedar baja baru-baru ini yang mengambil sedikit masa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung kelewatan pengagihan bekalan Baja 3 kepada pesawah di sekitar wilayah utara.
Difahamkan, SPRM Kedah menerima aduan rasmi daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lalu sebelum satu kertas siasatan dibuka.
Kertas siasatan itu memfokuskan kepada aduan berhubung kelewatan pembekalan baja oleh pihak yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memenuhi keperluan penanaman di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang berkeluasan 100,000 hektar.
Siasatan menyeluruh yang dijalankan oleh SPRM bukan sahaja melihat kepada aspek elemen jenayah dan rasuah, malah turut menyiasat sebarang kelemahan tatakelola yang wujud di mana-mana peringkat pengurusan sehingga mencetuskan kelewatan pengagihan yang kritikal itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

