zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berkongsi tarikh lahir dan dilahirkan di hospital yang sama, siapa sangka pertemuan sejak di bangku sekolah akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin, namun jodoh pasangan ini tidak panjang apabila suaminya pergi buat selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan.
Kisah itu dikongsikan Nurul Atikah Hishamuddin, 29, yang kehilangan suaminya, Muhammad Iqbal Lokman pada 3 Ogos lalu selepas lelaki itu maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
Setakat ini, hantaran Nurul Atikah itu mendapat lebih 10,000 tanda suka dengan rata-rata pengguna Threads menitipkan kata-kata semangat dan doa buat dirinya serta arwah suami.
Pasangan itu dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kira-kira 29 tahun yang lalu dengan arwah Muhammad Iqbal dilahirkan pada jam 10.15 pagi manakala Nurul Atikah jam 1.41 petang.
Menurut Nurul Atikah, dia dan arwah suami mula berkenalan ketika berusia 14 tahun selepas bersekolah di sekolah yang sama.
Katanya, persahabatan mereka semakin rapat setahun kemudian sebelum hubungan itu berkembang sehingga membawa kepada ikatan perkahwinan.
“Selepas beberapa tahun berkawan, kami akhirnya mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2024, namun, siapa sangka, jodoh kami tak panjang apabila arwah dijemput Ilahi,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Nurul Atikah, pemergian arwah disifatkan sebagai kehilangan besar kerana mereka sudah saling mengenali dan melalui pelbagai fasa kehidupan bersama sejak di usia remaja.
Menurutnya, dia berkongsi kisah dan kenangan bersama arwah menerusi platform Threads bagi mengabadikan memori yang pernah dilalui bersama.
“Sebenarnya saya kongsi di Threads hanya untuk simpan kenangan saya di situ. Saya pun tidak sangka perkongsian itu boleh menarik perhatian ramai.
“Bila ramai yang membaca dan memberikan kata-kata semangat, saya sangat menghargainya. Terima kasih kepada semua kerana mereka bukan sahaja beri sokongan tetapi turut mendoakan arwah suami,” katanya yang menetap di Johor.
Nurul Atikah berkata, sokongan yang diterimanya itu sedikit sebanyak memberi kekuatan kepadanya untuk melalui hari-hari selepas kehilangan insan tersayang.
Katanya, setiap kenangan bersama arwah amat bermakna buatnya selepas mereka melalui perjalanan panjang daripada sahabat di bangku sekolah sehingga akhirnya disatukan sebagai suami isteri.
“Walaupun hanya sempat menjadi isterinya tak sampai dua tahun, setiap momen bersama arwah sangat bermakna buat saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
