am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima dengan terbuka keputusan pengagihan kerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun diperuntukkan jumlah kerusi yang lebih kecil berbanding pilihan raya lalu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata. walaupun parti itu diperuntukkan lima kerusi berbanding sembilan kerusi pada PRN Melaka 2021, keputusan berkenaan dicapai hasil rundingan yang mendalam di peringkat tertinggi gabungan.
“Apa yang mustahak dalam mana-mana pilihan raya bagi kami di AMANAH adalah sebagai sebahagian daripada gabungan PH sejak penubuhannya pada 2015. Kami sentiasa bertindak, menyusun dan melaksanakan kempen sebagai satu pakatan yang bersatu.
“Keputusan yang diambil oleh pimpinan tertinggi PH adalah selepas ia dibincangkan dan dirundingkan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, seluruh jentera parti daripada kepimpinan tertinggi, pengurus pertengahan hingga ke peringkat akar umbi akan patuh dan akur dengan keputusan jawatankuasa gabungan berkenaan.
“Dapat lima kerusi itu pun alhamdulillah dan kita berharap dapat memenangi kesemua kerusi bertanding.
“Dapat banyak kerusi sekalipun tetapi kalau tidak menang, tiada manfaatnya juga.
“Justeru, kita akan buat yang terbaik untuk saling menyokong antara satu sama lain demi memenangkan kesemua calon rakan kongsi PH yang bertanding nanti,” katanya.
Pembahagian kerusi calon pada PRN Melaka 14 November ini menyaksikan PKR akan bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP di tujuh kerusi. manakala AMANAH di lima kerusi, menjadikan keseluruhan 21 kerusi yang ditandingi gabungan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




