am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan nisbah seorang pakar psikiatri bagi setiap 40,000 penduduk berbanding seorang bagi setiap 69,000 penduduk ketika ini menerusi peningkatan latihan kepakaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM kini mempunyai hampir 400 daripada kira-kira 700 pakar psikiatri berdaftar di negara ini yang berkhidmat di 72 hospital kementerian itu.
Beliau berkata, usaha menangani cabaran kesihatan mental tidak boleh bergantung kepada pakar psikiatri semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang turut memanfaatkan peranan masyarakat dan pengagihan tugas.
“Selain pakar psikiatri di hospital, KKM juga mempunyai lebih 300 daripada 10,000 kaunselor berdaftar di negara ini dan lebih 500 pakar perubatan keluarga (FMS) di peringkat penjagaan kesihatan primer yang berkhidmat di 1,116 klinik kesihatan seluruh negara.
“Mereka turut berkeupayaan mengendalikan pelbagai perkhidmatan dan cabaran kesihatan mental seawal peringkat komuniti.
“Pendekatan menerusi fasiliti awam ini membolehkan orang ramai menerima rawatan dan khidmat nasihat awal pada kadar yang amat berpatutan serta mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Bulan Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Sambutan bertemakan ‘Pengalaman Hidup Didengari: Suara Nyata, Perubahan Direalisasi’ itu menekankan kepentingan mendengar dan memahami pengalaman sebenar individu yang pernah atau sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan mental bagi memperkukuh usaha menangani isu berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, laporan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) baru-baru ini mendapati lebih 55,000 penjawat awam berada dalam kategori berisiko tinggi menghadapi masalah kesihatan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri.
“Dapatan ini memberi peringatan tepat pada masanya bahawa tempat kerja bukan sekadar medan mengejar indeks prestasi (KPI) dan produktiviti, tetapi mesti diuruskan sebagai persekitaran yang selamat, manusiawi dan memulihkan.
“Tuntutan profesionalisme tidak sepatutnya mengorbankan kewarasan dan kesejahteraan warga kerja kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata, dasar kesihatan mental perlu dirangka dengan mengambil kira pengalaman sebenar individu yang berhadapan dengan cabaran berkenaan, selain menghargai pengalaman ahli keluarga dan penjaga serta peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sokongan di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, Dzulkefly memberi jaminan kerajaan akan terus mengekalkan sistem pembiayaan kesihatan sedia ada di fasiliti awam dengan kadar bayaran nominal, iaitu RM1 bagi konsultasi doktor am dan RM5 bagi doktor pakar, termasuk pakar psikiatri.
“Kadar bayaran RM1 dan RM5 ini terbukti membantu rakyat sejak sekian lama. Isu kos perkhidmatan kesihatan mental yang mahal biasanya merujuk kepada sektor swasta.
“Di fasiliti KKM, tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan dan dasar caj minimum ini akan kekal bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima rawatan pakar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




