Selepas dibebaskan daripada menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 2 September lalu, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman dilihat kembali aktif merancang perjalanan kerjaya seninya.
Pemilik nama Muhammad Yasin Sulaiman, 51, itu turut mula mendekati dunia media sosial dengan membuka akaun Threads dan TikTok buat pertama kali.
“Untuk pertama kali, saya kini dalam TikTok, Yasin Sulaiman,” katanya.

Selain media sosial, bekas anggota kumpulan Brothers itu turut dalam proses menerbitkan sebuah buku autobiografi yang menghimpunkan perjalanan hidupnya sebagai anak seni sepanjang hampir tiga dekad.
“Saya dalam proses menerbitkan sebuah buku autobiografi 400 muka surat.
“Sekarang sedang memilih foto yang akan dimuatkan dalam buku tersebut.
“Foto ini (momen bersama Datuk M. Nasir) pastilah antara yang akan diselitkan,”kongsinya di media sosial.

Yasin turut merancang untuk menghasilkan lagu baharu selepas meluangkan masa di sebuah studio baru-baru ini.
“Semoga dapat aku membina sebuah syurga bersamanya, kini dan selamanya,” ujarnya yang turut ligat bertemu dengan beberapa rakan industri termasuk komposer, Ezra Kong.

Perkongsian Yasin itu menerima respons positif daripada pengikut yang menitipkan doa serta menggalakkannya untuk lebih aktif membuat siaran langsung di platform media sosial.
Terdahulu, Yasin dibebaskan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta selepas menjalani rawatan selama empat tahun.
Pada 28 April tahun lalu, penyanyi lagu Mimpi Laila itu dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dikemukakan Yasin.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Sumber: Threads Yasin Sulaiman
