nurul_husna@mediaprima.com my
Kuala Lumpur: Individu yang kelihatan sihat dan cergas tetap berdepan risiko tinggi diserang angin ahmar atau serangan jantung secara tiba-tiba akibat pendedahan kepada cuaca jerebu.
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Parkcity, Dr Chong Yoon-Sin berkata, jerebu mengandungi zarah mikroskopik halus berukuran kurang 2.5 mikron yang sangat berbahaya.
”Zarah ini cukup kecil untuk melepasi sistem penapisan paru-paru dan meresap terus ke dalam saluran darah.
”Apabila memasuki sistem pendarahan, ia menebal dan menyebabkan keradangan serta meningkatkan tekanan darah,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu meningkatkan risiko aritmia atau degupan jantung tidak sekata dan serangan jantung mendadak.
Katanya, tahap risiko bergantung kepada tindak balas badan individu dan tiada tempoh pendedahan khusus yang dianggap selamat.
”Golongan paling berisiko ialah warga tua, pesakit jantung, pesakit paru-paru, pesakit kencing manis, ibu hamil dan kanak-kanak,” katanya.
Menyentuh aktiviti fizikal, beliau menasihatkan orang ramai mengurangkan senaman berat di luar rumah seperti berjoging dan berbasikal.
”Aktiviti kardio menyebabkan pernafasan menjadi lebih laju dan dalam, sekali gus menyedut lebih banyak zarah debu ke dalam darah,” katanya.
Dr Yoon-Sin turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan mengehadkan aktiviti luar jika bacaan melebihi 100.
”Sentiasa pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup rapat bagi mengelakkan udara tercemar masuk ke dalam kediaman.
”Penggunaan pelitup muka yang sesuai amat digalakkan terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi apabila perlu keluar,” katanya.
Beliau menambah, orang ramai perlu minum air secukupnya untuk menyokong fungsi vaskular serta mengambil makanan kaya antioksidan.
”Kurang hidrasi boleh memburukkan lagi keadaan fizikal seseorang ketika cuaca panas dan berjerebu ini.
”Jangan abaikan gejala awal seperti dada ketat, sesak nafas atau kelesuan luar biasa dan segera dapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
