Seramai 989 pelajar daripada 25 sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dikenal pasti berdepan masalah kehadiran ke sekolah, dengan isu pengangkutan antara faktor utama yang direkodkan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, menerusi Inisiatif Kemudahan Pengangkutan Pelajar ke Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan, kerajaan berusaha memastikan masalah pengangkutan tidak terus menjadi penghalang kepada pelajar mendapatkan pendidikan.


Menurutnya, sebagai permulaan, seramai 437 pelajar daripada enam sekolah akan menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan.
Katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak industri bagi menjayakan inisiatif itu.
Kerjasama berkenaan turut membabitkan Persatuan Pengusaha Bas Mini Labuan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pelajar yang memerlukan.
“Ada anak yang mahu ke sekolah. Yang menghalang bukan cita-cita tetapi perjalanan untuk sampai ke tempat mereka membina masa depan.
“Masa depan mereka tidak sepatutnya tersekat hanya kerana sukar untuk sampai ke sekolah,” katanya, hari ini.
Hannah berkata, usaha itu diharap dapat membantu meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah, sekali gus mengurangkan risiko keciciran dalam kalangan murid yang berdepan kekangan pengangkutan.

Beliau menegaskan, akses kepada pendidikan perlu dipastikan tidak terjejas hanya disebabkan masalah mendapatkan pengangkutan, terutama bagi pelajar yang tinggal di kawasan berdepan kekangan akses.
Sumber: FB Hannah Yeoh

