'Besarnya kuasa Allah' – Hani isteri Loe di Nepal

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Besarnya kuasa Allah,” demikian kata-kata Hani Othman, isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih mesra dipanggil Loe, yang dilaporkan hilang susulan tragedi bencana di Nepal.

Menerusi perkembangan terbaharu dikongsikan di ‘instastorynya’, Hani Othman yang kini berada di Nepal turut menceritakan mengenai sebuah perkampungan yang dahulunya dipenuhi dengan orang ramai.

Menurutnya, di perkampungan itu juga, pihak berkuasa telah berjaya mengeluarkan kira-kira 24 mayat susulan banjir dahsyat yang berlaku di Nepal pada 26 Ogos lalu.

“Sepatutnya situ penuh dengan perkampungan rumah orang, di dalam rumah ini sahaja mereka keluarkan kira-kira 24 mayat,” katanya sambil menunjukkan lokasi perkampungan itu.

Hani dalam masa sama turut berkongsi keadaan sebuah jalan yang dahulunya boleh terus ke Kathmandu, namun telah musnah dilanda banjir.

“Di sini patutnya ada jalan terus ke Kathmandu. Di sini ada ‘highway’ (lebuh raya), di sini ada banyak rumah, hotel, ada kedai tetapi habis semua musnah,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Mohd Fakhrul Munir berusia 40-an yang lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di Nepal, susulan banjir dahsyat di negara itu.

Turut dilaporkan hilang ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, yang menyertai misi pendakian sama.

Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top