sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelantikan ketua jurulatih dari luar negara mampu menjadi ‘senjata psikologi’ berkesan buat Harimau Malaya untuk menggerunkan pihak lawan di pentas antarabangsa.
Bekas pertahanan skuad Harimau Malaya, Mahali Jasuli berpandangan kehadiran pengendali import bukan sahaja membawa pembaharuan taktikal, malah meletakkan persepsi berbeza terhadap kekuatan dan kualiti skuad negara.
Menurutnya, reputasi serta pendekatan baharu jurulatih asing secara tidak langsung memaksa pasukan lawan berwaspada dan memandang tinggi kemampuan pasukan kebangsaan.
“Kehadiran jurulatih luar bukan sahaja mampu meniupkan semangat juang lebih tinggi, malah membawa idea taktikal baharu kepada pasukan kebangsaan. Saya percaya ini satu langkah positif.
“Secara psikologi, pasukan lawan akan lebih berhati-hati apabila berdepan kita.
“Apabila melihat sesebuah negara itu dibimbing jurulatih luar, mereka pasti beranggapan pasukan terbabit memiliki sesuatu yang istimewa,” katanya.
Bagaimanapun, Mahali menegaskan kelebihan psikologi itu hanya akan memberi impak maksimum sekiranya badan induk bola sepak negara bertindak pantas melakukan pelantikan tanpa menunggu saat-saat akhir.
“Jika kita benar-benar mahu melihat pasukan kebangsaan maju dan melakar keputusan lebih baik, persiapan perlu dimulakan dari sekarang, bukannya menunggu hingga hampir menjelang saingan kelayakan.
“Justeru, inilah masa paling sesuai untuk kita memandang ke depan daripada pelbagai isu yang melanda.
“Kegagalan sebelum ini wajar dijadikan iktibar untuk kita bangkit mempersiapkan pasukan yang jauh lebih ampuh bagi menghadapi cabaran kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia,” katanya.
Mahali turut melihat ketiadaan Bergson da Silva yang mengalami kecederaan tidak akan memberi kesan kepada kualiti Harimau Malaya bagi aksi menentang China dan Yaman bulan depan, kerana skuad negara memiliki ramai pemain berkualiti.
“Sudah lama saya mahu melihat pasukan negara ada penyerang prolifik, tetapi kita lihat Bergson ada sedikit kecederaan.
“Namun saya percaya ada lagi pemain lain yang boleh menggantikan posisi beliau.
“Seperti kita tahu, Fergus Tierney pun konsisten beraksi di liga luar negara dan saya percaya dengan pemain lain yang ada, jadi ketiadaan Bergson mungkin bukanlah satu isu besar.
“Lagipun perlawanan akan datang hanyalah perlawanan persahabatan dan yang paling penting untuk pasukan negara selepas ini di kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




