am@hmetro.com.my
Kejayaan kutipan filem tempatan mengatasi filem Hollywood pada tahun lalu mencerminkan perkembangan positif industri perfileman negara sekali gus membuktikan potensi karya anak tempatan.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berkata, pencapaian itu memperlihatkan kepentingan sokongan berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem industri kreatif, khususnya menerusi insentif yang membantu penerbit pada peringkat penerbitan hingga selepas filem ditayangkan.
Menurutnya, inisiatif seperti Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) membuka ruang kepada penerbit memperkukuh penghasilan karya, meningkatkan kualiti produksi dan merancang kelangsungan perniagaan dalam industri berkenaan.
“Tahun lalu adalah tahun yang sangat berjaya untuk industri perfileman kita apabila jualan tiket filem tempatan mengatasi filem Hollywood.
“Ini adalah satu kejayaan dan perkembangan baik untuk industri filem tempatan,” katanya pada majlis penyampaian insentif ITFC 2.0 Bilangan 2 Tahun 2026 di Menara FINAS, Damansara, baru-baru ini.
Pada majlis itu, FINAS menyalurkan insentif RM1.22 juta kepada enam filem tempatan iaitu Malam Terlarang, Key to Happiness, I’m Not Gangster, Mah’s Journey, White dan Our Crazy Adventure.
Hans berkata, ITFC diwujudkan sebagai mekanisme untuk memulangkan sebahagian hasil kutipan tayangan kepada penerbit yang memenuhi syarat, sekali gus membantu mereka meneruskan penghasilan karya baharu.
Menurutnya, pembayaran insentif dibuat berdasarkan kutipan tiket yang diaudit, manakala pertambahan nilai pembayaran dan jumlah filem penerima boleh menjadi antara petunjuk perkembangan pasaran perfileman negara.
Katanya, ekosistem perfileman Malaysia mempunyai kelebihan kerana sokongan kerajaan tidak terhad kepada satu peringkat, sebaliknya merangkumi proses penerbitan hingga selepas filem ditayangkan di pawagam.
“Menerusi FIMI, penerbit yang memenuhi syarat berpeluang menerima insentif bersamaan 30 peratus daripada kos penerbitan, manakala ITFC menyediakan peluang mendapatkan pulangan selepas karya ditayangkan, tertakluk kepada kriteria kelayakan ditetapkan.
“Sekiranya bajet sesebuah filem menelan belanja RM3 juta, RM900,000 boleh diperoleh menerusi FIMI. Selepas filem itu ditayangkan di pawagam, penerbit juga berpeluang menerima pulangan menerusi ITFC,” katanya.
Katanya, bantuan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk menambah baik aspek teknikal, penggunaan kamera, tenaga kerja, lakonan dan penulisan skrip sekali gus meningkatkan mutu penerbitan filem tempatan.
Sementara itu, rekod pembayaran ITFC menunjukkan jumlah insentif meningkat daripada RM2.363 juta bagi siri 2024 kepada RM3.252 juta bagi siri 2025, iaitu pertambahan RM888,299.82 atau 37.58 peratus.
Jumlah filem yang menerima insentif turut meningkat daripada 44 judul kepada 50 judul, bersamaan pertambahan enam filem atau 13.64 peratus.
Secara keseluruhan, nilai insentif bagi 2024 dan 2025 melebihi RM5.6 juta, manakala rekod urus setia bagi 2026 menunjukkan jumlah jualan sebanyak RM1.493 juta untuk 18 filem.
“Bagaimanapun, penerbit diingatkan supaya menggunakan bantuan yang diterima secara berhemah bagi memperkukuh kedudukan syarikat dan merancang penerbitan karya berkualiti serta memberi kesan positif.
“Ini wang kerajaan, wang rakyat. Gunakanlah dengan bijak. Saya berharap manfaat yang diterima menerusi ITFC dapat membantu penerbit menghasilkan filem seterusnya.
“Jangan pernah berputus asa dalam pembikinan filem. Pilihlah cerita yang mempunyai jiwa, mampu membina pemikiran dan membawa masyarakat ke arah yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




