puterialia@hmetro.com.my
Acara padang ikonik, Karnival Jom Heboh (KJH) yang diiktiraf sebagai Longest Running Outdoor Carnival oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) bakal menggamit warga Johor di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall bermula hari ini.
Memasuki tahun penganjuran ke-23, KJH2026 bukan sekadar destinasi hiburan, malah menjadi ruang untuk orang ramai berkumpul, meluangkan masa dan mencipta kenangan menerusi pelbagai pengalaman yang ditawarkan.
Berteraskan konsep kekeluargaan dan kemasyarakatan, pengunjung boleh menikmati pelbagai pengisian menarik termasuk Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Meet & Greet pelakon drama TV3 dan personaliti TV9 serta Kids Colouring Contest.
Turut disediakan ialah pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma, aktiviti zumba serta persembahan Jom Lokal Jam.
Antara jenama besar yang mengambil bahagian termasuk Mi Sedaap, FGV, BABA’S, AFFIN Bank dan CelcomDigi, selain tawaran reruai di bawah naungan Media Prima Berhad.
Turut menyertai karnival berkenaan ialah Grab yang menawarkan kod diskaun khas bagi membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan e-hailing dengan lebih jimat.
Aktiviti Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP meneruskan langkah ke Johor Bahru selepas menerima sambutan menggalakkan di Kota Samarahan dan Miri, Sarawak.
Penganjuran aktiviti larian itu membabitkan dua kategori iaitu lima dan lapan kilometer (KM) dengan setiap peserta bakal menerima medal ‘finisher’ eksklusif, jersi rasmi, beg tote, bib eksklusif serta cenderahati menarik.
Lebih istimewa, Pakej Keluarga bagi kategori 5KM ditawarkan pada kadar khas untuk empat orang dalam satu pendaftaran, selain peserta berpeluang memenangi 50 hadiah cabutan bertuah serta berlari bersama artis, personaliti Media Prima dan selebriti popular tanah air.
Hari ini, pengunjung boleh menyertai pertandingan mewarna, karaoke challenge serta sesi Meet & Greet bersama hos Wanita Hari Ini iaitu Nurin Razmyn, Hanna Faresha dan Izza Izelan serta hos Bersamamu, Zazleen Zulkafli dan Naufal Isa.
Kemeriahan diteruskan pada Sabtu dengan penampilan maskot Ejen Ali, pertandingan mewarna dan pertandingan karaoke yang membabitkan 20 peserta serta sesi bertemu selebriti TV3.
Manakala pada Ahad ini, pengunjung boleh menyaksikan Pertandingan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak, selain menyertai pertandingan mewarna dan bertemu maskot Ejen Ali.
Peluang beramah mesra menerusi sesi Meet & Greet TV3 turut membariskan pelakon popular seperti Imran Aqil, Puteri Khareeza, Lorenzo, Idan Aedan, Amylia Aidura, Ellyza Azizi, Maxximus, Farah Nabilah, Shahz Jaszle, Nafiz Muaz, Nazrief Nazri dan Malik Macrone.
Kemuncak acara menampilkan Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut pada 31 Oktober dan 1 November bermula jam 9 malam di Pentas Utama, dihoskan oleh Amirulhakim Lokman dan Haiza Kool FM.
Pada malam Sabtu bakal digegarkan dengan persembahan barisan artis popular seperti Khai Bahar, Haiza, Nabila Razali, Ara Johari, Bunga Isme dan Haqiem Rusli, manakala malam Ahad pula menampilkan Mamat Exist, Alyph, Wany Hasrita, Drama Band dan Mariam Saim.
Turut menjadi tarikan utama ialah Love Food Fest yang menghimpunkan pelbagai pilihan makanan tempatan dan sajian tular untuk diterokai pengunjung sambil meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Dengan rekod kehadiran purata lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, KJH terus menjadi platform terbaik yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang menerusi gabungan hiburan, gaya hidup dan aktiviti komuniti.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Padang B, Angsana Johor Bahru Mall dari 30 Oktober hingga 1 November ini dan berkongsi keterujaan menerusi tanda pagar rasmi #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHJohor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




