am@hmetro.com.my
Gerik: Kesemua enam pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan sudah dibawa keluar ke Pengkalan Trojan, di sini, pagi hari ini.
Mereka yang terdiri daripada empat sekeluarga dan dua malim gunung dilihat berada dalam keadaan sihat ketika tiba di lokasi berkenaan.
Ditanya keadaan kesihatan mereka, kesemua pendaki hanya mengangguk sebagai tanda berada dalam keadaan baik.
Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini, untuk dirakam keterangan.
Keterangan kesemua mereka dijangka dirakam secara serentak dan mengambil masa kira-kira satu jam.
Terdahulu, kesemua pendaki dibawa keluar pada malam tadi selepas ditemui selamat di Kem Kulim.
Mereka kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Kemar bagi menjalani pemeriksaan serta mendapatkan rawatan.
Sebelum ini, keenam individu berkenaan dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu.
Laporan kehilangan mereka itu dibuat ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor selepas mereka gagal keluar dari kawasan hutan mengikut jadual pada 3 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
