NUWAKOT, NEPAL – Dalam kegelapan pekat tanpa cahaya, Kabir Maharjan terumbang-ambing antara sedar dan tidak sedarkan diri selama sembilan hari, terperangkap di dalam sebuah terowong yang dipenuhi air berlumpur selepas bencana banjir terburuk Nepal dalam beberapa dekad.
Apabila akhirnya sedar di hospital selepas operasi menyelamat yang disifatkan sebagai keajaiban, Maharjan gagal mengenali isterinya.
Dalam keadaan keliru, dia bertanya mengapa isterinya tidak memberikannya katil lebih awal.
Maharjan merupakan antara ratusan pekerja loji hidroelektrik yang dipercayai tertimbus apabila sebuah glasier runtuh di atas Lembah Trishuli pada 26 Ogos lalu, mencetuskan gelombang lumpur dan air yang meragut lebih 1,300 nyawa serta menyebabkan ribuan lagi hilang di Nepal dan Tibet.

Operasi menyelamat diteruskan di Pusat Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal susulan banjir besar yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet. Foto AFP
DIa bersama penyelia mekanikal, Sanjay Sah berjaya bertahan hidup di dalam satu ruang yang masih mempunyai bekalan udara, kata Ahli Parlimen Shri Ram Neupane yang juga jurutera terowong berpengalaman dan antara individu yang mengetuai operasi menyelamat.
Penyelamatan luar biasa kedua-dua mangsa itu memberi sinar harapan kepada pasukan penyelamat yang masih meneruskan pencarian di lokasi bencana, khususnya terhadap 121 pekerja yang dipercayai masih terperangkap dalam terowong sehingga Isnin.
Panggilan terakhir sebelum tragedi
Pada jam 7.30 pagi waktu tempatan hari kejadian, Maharjan menghubungi isterinya sebelum memulakan syif di Projek Hidroelektrik Upper Trishuli 3A.
“Saya perlu masuk ke dalam terowong. Tiada liputan rangkaian di dalam,” katanya.
Kira-kira sejam kemudian, sebuah glasier di Gunung Langtang Lirung, kira-kira 40 kilometer di hulu sungai, runtuh dan mencetuskan tanah runtuh besar yang membentuk gelombang air pemusnah.
Banjir berkenaan memusnahkan kampung-kampung dan menenggelamkan rangkaian 12 projek hidroelektrik yang ketika itu mempunyai hampir 900 pekerja.
Di Kathmandu, pegawai pihak berkuasa elektrik Nepal memantau bekalan kuasa projek-projek itu sebelum satu demi satu stesen hilang daripada skrin kawalan.
Pada mulanya, jurutera Nepal Electricity Authority, Suraj Dahal tidak terlalu cemas kerana banjir merupakan kejadian biasa di Nepal.
Namun situasi itu segera bertukar menjadi kecemasan besar.
Pada jam 9.15 pagi, hanya dua minit selepas isteri Maharjan gagal menghubunginya menerusi telefon, arahan terakhir dikeluarkan kepada pekerja di stesen 3A: “Kosongkan kawasan segera.”
Sah yang bertugas di bilik kawalan sempat berlari dari satu aras ke aras lain bagi memberi amaran kepada rakan-rakan sekerja sebelum bencana melanda.
Di luar terowong, pekerja yang cuba melarikan diri gagal mengatasi kepantasan arus deras.
Rakaman video menunjukkan kira-kira 30 pekerja dihanyutkan oleh gelombang yang jauh lebih tinggi daripada tubuh mereka.
Perangkap menjadi penyelamat
Pasukan penyelamat kemudian mengenal pasti sebuah tangga kecemasan yang berpotensi menyelamatkan sebahagian besar pekerja sekiranya mereka mengetahui kewujudannya.
Bagaimanapun, dalam keadaan cemas dan kelam-kabut, kebanyakan pekerja tidak mengetahui laluan selamat untuk melarikan diri.
Daripada empat laluan masuk ke terowong, satu laluan sepanjang lebih 180 meter menuju ke stesen jana kuasa bawah tanah dipercayai telah ditenggelami air sepenuhnya.
Sebaliknya, perhatian tertumpu kepada sebuah terowong kabel yang lebih pendek dan condong ke atas, yang kurang terdedah kepada banjir.
Di situlah Maharjan dan Sah berlindung, hanya kira-kira 160 meter dari pintu keluar.
Sembilan hari dalam kegelapan
Poket udara yang menyelamatkan nyawa mereka akhirnya menjadi penjara.
Sepanjang sembilan hari itu, Sah dilaporkan mengalunkan doa-doa Hindu bagi menguatkan semangatnya.
Maharjan pula bertahan dengan meneguk air berlumpur yang sama digunakan sebagai tempatnya berehat.
Ketika pertama kali mendengar berita banjir, isteri Maharjan, Hira Shova Maharjan menyangka suaminya berada di kawasan yang selamat.
Dia segera menghubungi telefon suami, rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang mungkin mengetahui nasib Maharjan, namun, tiada panggilan yang dijawab.
Apabila pihak berkuasa menunjukkan gambar lokasi pintu masuk yang sudah bertukar menjadi tebing sungai kosong, Maharjan mula hilang harapan.
“Jauh di sudut hati, saya mula merasakan tiada lagi harapan,” katanya.
Namun, di hadapan dua anak lelaki mereka yang berusia 15 dan 10 tahun, dia tetap berusaha menunjukkan ketabahan.
Pihak berkuasa percaya masih terdapat poket udara dalam runtuhan yang mungkin membolehkan mangsa terus hidup.
Walaupun lebih 7,500 rumah musnah di seluruh lembah, tapak Upper Trishuli 3A diberi keutamaan kerana struktur bertingkat loji itu dipercayai mampu memerangkap ruang udara.

Keadaan selepas dilanda banjir lumpur. Foto Agensi
Namun begitu, operasi menyelamat berdepan pelbagai cabaran.
Tanah yang terlalu tepu dengan air menyebabkan jentera berat tidak boleh digunakan dengan segera.
Pasukan penyelamat terlebih dahulu terpaksa membina platform stabil sebelum kerja-kerja penggalian dapat dimulakan.
Penggalian serius hanya bermula tiga hari selepas bencana berlaku.
Kesemua empat terowong tertimbus lumpur, batu-batan, kayu dan serpihan runtuhan setinggi antara 15 hingga 30 meter.
Mereka kemudian menggunakan teknik penggerudian, letupan terkawal dan jentera berat untuk membuka laluan sedikit demi sedikit.
Hujan berterusan menambahkan kesukaran apabila lubang yang digali kembali dipenuhi air dan lumpur dalam masa singkat.
Pada malam sebelum kedua-dua mangsa ditemukan, pasukan penyelamat menemui halangan besar berupa timbunan lumpur yang sukar dialihkan.
Mereka kemudian memanfaatkan saluran semula jadi dan menggunakan pancutan air bertekanan tinggi untuk membersihkan laluan.
Bagaimanapun, hujan sekali lagi menyebabkan runtuhan kecil yang turut memerangkap beberapa anggota penyelamat.
Operasi tergendala selama beberapa jam sebelum kerja diteruskan semula.
Pada jam 4 pagi hari ke-10 operasi, Dahal menerima panggilan daripada pengendali jentera berat.
Pasukan di lokasi mendengar satu bunyi.
Mungkin suara mangsa. Mungkin juga gema suara mereka sendiri.
“Kami akan menjerit, ‘Di mana kamu? Adakah kamu masih hidup?'” kata ketua pasukan penyelamat, Ganga Baral.
Mereka masih tidak dapat mengenal pasti perkataan yang diucapkan, namun yakin sumber bunyi itu berada hanya 15 hingga 20 meter dari lokasi mereka.
Tidak lama kemudian, dalam pancaran lampu, mereka terlihat lambaian tangan.
Selepas beberapa meter lagi laluan berlumpur dibersihkan, tentera berjaya membuka sebuah lubang kecil sekitar jam 7 pagi.
Dari dalam, kedengaran satu ungkapan ringkas:
“Hunuhuncha” atau “kami berada di sini.”
Kembali ke pangkuan Keluarga
Ketika berjaya dikeluarkan, kedua-dua mangsa sudah terlalu lemah untuk berdiri.
Sah yang dipenuhi lumpur terpaksa didukung keluar oleh anggota penyelamat, namun, masih mampu mengangkat tangan ke arah kamera.
Maharjan yang mengalami kecederaan lebih serius dibawa keluar menggunakan pengusung.
“Saya tidak dapat menahan air mata,” kata Dhakal yang mengetuai operasi dari luar terowong.
Keesokan harinya, seorang lagi pekerja warga China, Lu Haitao, ditemui hidup di dalam terowong projek hidroelektrik Upper Trishuli-1 yang berasingan.
Di hospital, doktor menjalankan pembedahan pada luka serius yang dijangkiti kuman di kaki Maharjan.
Ketika isterinya memasuki bilik rawatan, dia masih tidak mengenali wanita yang berdiri di hadapannya.
“Di mana saya?” tanya Maharjan.
Namun bagi Hira Shova, satu perkara sahaja yang penting.
Suaminya kembali hidup.
“Dia dikurniakan peluang kedua untuk hidup.” – Agensi/ AWANI
