Kuala Lumpur: Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan perubahan ketara dalam cara masyarakat melihat aspek kesihatan dan kesejahteraan.
Semakin ramai mengambil langkah proaktif untuk mengamalkan gaya hidup sihat, berbanding hanya mendapatkan rawatan selepas disahkan menghidap penyakit.
Perubahan ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan pencegahan, dengan lebih ramai individu menjadikan pemeriksaan kesihatan berkala, aktiviti fizikal dan pemakanan seimbang sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.
Apa yang dahulunya dianggap sebagai pilihan, kini semakin menjadi satu keperluan.
Malah, konsep kesejahteraan turut berkembang melangkaui aspek kesihatan fizikal semata-mata.
Ia kini merangkumi kesejahteraan emosi, hubungan sosial, rasa kekitaan serta pengalaman yang mampu menyumbang kepada kualiti hidup secara menyeluruh.
Perkembangan positif itu turut disokong pelbagai inisiatif yang menggalakkan masyarakat membina tabiat sihat secara konsisten, termasuk melalui pendekatan berasaskan sains, teknologi dan dorongan tingkah laku yang menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses serta diamalkan dalam kehidupan seharian.
Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chai Tze Siang berkata, semakin ramai rakyat Malaysia kini memahami bahawa kesihatan yang berkekalan tidak dicapai melalui perubahan drastik dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui amalan kecil yang dilakukan secara konsisten dari hari ke hari.
“Itulah falsafah yang menjadi teras program AIA Vitality sejak diperkenalkan 10 tahun lalu dalam membantu rakyat Malaysia membina tabiat sihat yang mampan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” katanya.
Menurut Tze Siang, sambutan ulang tahun ke-10 AIA Vitality bukan sekadar menandakan pencapaian program tersebut sepanjang sedekad lalu, tetapi juga meraikan perjalanan dan kemajuan rakyat Malaysia yang telah mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri.
“Ia juga mengingatkan kita bahawa perubahan bermakna tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan komitmen dan sokongan yang berterusan, serta usaha bersama daripada individu, keluarga dan komuniti,” katanya.
Sebagai program kesihatan dan kesejahteraan berasaskan sains, AIA Vitality dibangunkan berteraskan tiga prinsip utama iaitu ‘Ketahui Kesihatan Anda’, ‘Tingkatkan Kesihatan Anda’ dan ‘Nikmati Ganjaran’.
Pendekatan ini membantu ahlinya memahami tahap kesihatan mereka menerusi penilaian kesihatan dan pemeriksaan berkala selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, pemakanan seimbang dan ganjaran yang meraikan usaha mereka yang konsisten membuat pilihan lebih baik setiap hari.
Keberkesanan pendekatan itu juga jelas dilihat apabila AIA Vitality berkembang lebih daripada sepuluh kali ganda dengan jumlah keahlian melebihi 416,000 di seluruh negara sejak program diperkenalkan pada 2016.
Malah, sepanjang tahun 2025 sahaja, ahli program itu merekodkan sebanyak 230 bilion langkah, bersamaan berjalan mengelilingi bumi lebih 4,500 kali, selain menerima lebih RM18 juta dalam bentuk ganjaran hasil komitmen amalan gaya hidup sihat.
Data pemeriksaan kesihatan turut membuktikan impak positif program ini apabila 49 peratus ahlinya berjaya memperbaiki tahap tekanan darah, 61 peratus mencapai paras kolesterol yang lebih sihat, 79 peratus menunjukkan peningkatan paras glukosa, manakala 43 peratus memperbaiki Indeks Jisim Badan (BMI).
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-10 AIA Vitality, AIA Malaysia bakal menganjurkan Konsert AIA Generasi Malaysia 2026 sempena Hari Malaysia sebagai platform yang menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, budaya dan generasi menerusi muzik serta pengalaman yang dikongsi bersama.
Tze Siang berkata, penganjuran Konsert AIA Generasi Malaysia 2026 ini menunjukkan bagaimana detik-detik kegembiraan dan hubungan sesama insan mampu menyumbang kepada kesejahteraan secara menyeluruh.
Konsert itu bakal menampilkan barisan artis daripada pelbagai generasi termasuk Michael Wong, Ernie Zakri, 3P, Mimi Fly dan K-Town Clan.
Konsert ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai sejauh mana kita telah melangkah sebagai sebuah negara, malah mengajak rakyat Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan dalam semangat perpaduan, kebersamaan dan kesejahteraan demi masa depan yang lebih baik.
Untuk maklumat lanjut mengenai AIA Vitality atau Konsert AIA Generasi Malaysia 2026, layari www.aia.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd

