zulfaizan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tempoh berlayar singkat, tetapi banyak gelora atau gelombang besar yang perlu diatasi.
Itu perumpamaan situasi bakal dihadapi nakhoda baharu yang akan mengemudi ‘kapal’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kongres pemilihan barisan kepimpinan badan induk berkenaan, 17 September ini.
Presiden dan Jawatankuasa Eksekutif FAM baharu yang bakal dipilih itu nanti hanya memiliki masa kira-kira dua tahun setengah kerana pemilihan barisan kepimpinan kali ini adalah bagi baki penggal 2025-2029.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM, Datuk Christopher Raj menjelaskan tiga cabaran besar yang perlu dihadapi barisan kepimpinan baharu termasuk memulihkan reputasi, kewangan dan pentadbiran badan induk itu.
Justeru, beliau menegaskan bebanan paling besar sudah pasti diletakkan ke atas bahu presiden yang bakal menjadi rebutan antara Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Beliau bagaimanapun berkata, naib presiden dan semua EXCO juga tidak terkecuali daripada memastikan tindakan ahli gabungan memilih mereka untuk melakukan perubahan terhadap FAM dan bola sepak negara adalah tepat.
“Saya tidak berpihak kepada sesiapa, cuma saya nak katakan bahawa siapa sahaja yang jadi Presiden FAM mempunyai tanggungjawab cukup besar untuk memperbaiki keadaan badan induk itu.
“Bola sepak Malaysia sekarang bukan saja berdepan cabaran aspek kepimpinan tetapi juga cabaran dari segi memulihkan reputasi FAM, memperbaiki sistem bola sepak negara serta mengembalikan sokongan seluruh rakyat, pemegang taruh dan sebagainya terhadap FAM.
“Presiden hanya ada masa dua tahun setengah dan dalam tempoh itu mereka perlu berdepan cabaran untuk memulihkan reputasi, kewangan dan pentadbiran. Semua kena dibetulkan supaya dalam tempoh masa yang akan datang FAM boleh berganjak ke peringkat yang lebih baik.
“Tidak kira siapa menang, siapa kalah, tetapi mereka kena membawa balik semua pemegang taruh dan masyarakat secara umumnya kembali sebagai satu keluarga besar bola sepak negara,” katanya.
Sebagai rekod, pemilihan barisan kepimpinan FAM perlu dilakukan selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 secara kolektif meletakkan jawatan pada Januari lalu.
Selain itu, Christopher menegaskan bahawa ahli gabungan perlu membuat pilihan tepat dalam memilih individu yang benar-benar layak untuk memimpin dan membawa perubahan kepada FAM.
“Tanggungjawab perwakilan ialah memilih individu secara keseluruhan yang mempunyai integriti tinggi, kebolehan, dan pengalaman.
“Kalau anda memilih individu yang tiada pengalaman, tiada kebolehan dan ‘hantar’ dia ke persatuan kebangsaan, itu silap perwakilan. Anda tidak boleh salahkan kepada individu,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd
