Air sungai deras tiba-tiba, remaja lemas gagal selamatkan diri

am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang remaja lemas manakala enam lagi rakannya terselamat dalam kejadian air deras di Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai Besar dekat sini, pagi semalam, ketika mereka sedang mandi di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa berusia 19 tahun itu bersama 11 rakannya termasuk enam terselamat berada di kawasan sungai berkenaan untuk berkelah.

“Ketika kejadian, mangsa bersama enam rakannya sedang mandi di sungai itu, manakala rakan-rakannya yang lain berada berhampiran menyediakan makanan. Air sungai bagaimanapun menjadi deras secara tiba-tiba.

“Enam rakan mangsa sempat berenang menyelamatkan diri dan berjaya sampai ke tebing, manakala mangsa gagal berbuat demikian sebelum tenggelam.

“Rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada penjaga sungai di situ yang terjun dan menyelam ke dalam sungai bagi mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wilynton berkata, remaja itu berjaya ditemui dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di situ.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk proses pemeriksaan dan bedah siasat.

“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada tanda berunsur jenayah atau kesan mencurigakan pada tubuh mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi serta tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top