Kemeriahan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026) ternyata meninggalkan kenangan manis buat pengunjung, termasuk seorang kanak-kanak yang begitu seronok mengikuti program dwi tahunan berkenaan sehingga menangis apabila acara tersebut melabuhkan tirai.
Anak menangis MAHA selesai
Perkara itu dikongsian pengguna Thread apabila memuat naik momen anaknya menangis sedih pada hari terakhir penganjuran acara tersebut.
Momen mencuit hati itu turut mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih mesra disapa Pak Mat, yang tampil memujuk kanak-kanak berkenaan menerusi satu hantaran di media sosial.

Sedih Pak Mat tengok
Dalam perkongsian tersebut, Mohamad Sabu dilihat memahami perasaan kanak-kanak itu yang masih belum mahu berpisah dengan suasana meriah MAHA 2026, selain menghargai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke program berkenaan.
“Jangan teriak dik. Sedih Pak Mat tengok. Terima kasih ibu ayah sebab bawa anak-anak ke MAHA 2026. Bila anak-anak seronok, dapat belajar dan balik dengan kenangan macam ni, rasa berbaloi segala usaha kita. Insya-Allah kita jumpa lagi na,” tulisnya ringkas.

Momen tersebut mengundang perhatian warganet apabila melihat betapa terujanya kanak-kanak dapat menikmati pengalaman di MAHA 2026 sehingga berat hati untuk menerima hakikat program tersebut sudah berakhir.
Terima kasih MAHA 2026
Susulan daripada itu, pengguna Thread yang dikenali sebagai janatunmaqwa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam MAHA 2026 kerana mengakui bukan hanya kanak-kanak sahaja seronok datang ke sana, tetapi ibu bapa juga teruja sama.
Jelasnya, banyak yang dapat dipelajari anak-anak sepanjang datang ke MAHA 2026 dan sudah tentu acara tersebut akan sentiasa dinantikan mereka apabila cuti sekolah nanti.

