PISA 2025: Buli siber meningkat, sokongan ibu bapa menurun

PUTRAJAYA – Kadar buli siber yang dilaporkan oleh murid Malaysia didapati lebih tinggi berbanding purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berdasarkan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.

Dapatan tersebut menunjukkan kurang daripada lima peratus murid berusia 15 tahun di Malaysia melaporkan pernah mengalami buli siber, melebihi purata OECD yang berada pada kadar tiga peratus.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana aspek keselamatan, kesejahteraan dan sokongan daripada golongan dewasa mempunyai kaitan rapat dengan proses pembelajaran murid.

Menurut beliau, kadar buli siber yang dilaporkan dalam kalangan murid Malaysia turut mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik yang lebih rendah.

“Buli di sekolah mungkin berakhir apabila seorang murid pulang ke rumah. Namun, buli siber boleh terus mengikutinya ke mana sahaja.

“Sebab itu keselamatan dan kesejahteraan bukan perkara sampingan dalam pendidikan,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan PISA 2025 di sini pada Selasa.

Fadhlina berkata, kehidupan murid pada masa kini tidak lagi tertumpu kepada persekitaran sekolah semata-mata kerana interaksi mereka turut berlaku melalui telefon pintar, kumpulan sembang dan pelbagai platform digital.

Sehubungan itu, katanya, setiap kanak-kanak perlu mengetahui bahawa terdapat orang dewasa yang bersedia mendengar, mempercayai dan mengambil tindakan apabila mereka berdepan dengan masalah.

PISA 2025 melibatkan seramai 7,624 murid berusia 15 tahun daripada institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan GiatMARA.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dapatan PISA 2025 turut menunjukkan trend penurunan sokongan ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak.

Menurutnya, perbincangan ibu bapa mengenai aktiviti sekolah mencatatkan kadar 51 peratus berbanding 57 peratus dalam kitaran PISA 2022.

Sementara itu, kadar ibu bapa yang berbincang mengenai masalah di sekolah bersama anak-anak turut menurun daripada 46 peratus kepada 34 peratus.

Fadhlina berkata, isu tersebut bukan bertujuan mencari pihak yang perlu dipersalahkan, sebaliknya menjadi petunjuk untuk memahami keperluan sebenar anak-anak daripada orang dewasa di sekeliling mereka.

“Guru boleh mengajar di dalam bilik darjah, manakala KPM boleh menyediakan kurikulum, tenaga pengajar, sekolah dan pelbagai bentuk sokongan.

“Namun, tiada sistem pendidikan yang mampu menggantikan peranan sebuah keluarga dalam kehidupan seorang anak,” katanya.

Menurut beliau, ibu bapa tidak perlu menjadi ‘guru kedua’ di rumah atau menguasai semua formula Matematik untuk membantu anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Sebaliknya, sokongan boleh dimulakan dengan perkara yang mudah seperti meluangkan masa bersama anak serta bertanya tentang apa yang dipelajari atau perkara yang belum mereka fahami.

“Apabila ibu atau bapa bertanya kepada anak, mesej yang disampaikan sebenarnya jauh lebih besar.

“‘Apa yang kamu pelajari penting kepada saya. Usaha kamu penting kepada saya. Masa depan kamu penting kepada saya,’ itulah mesej yang diterima oleh seorang anak,” jelasnya.

Beliau berkata, tanggungjawab untuk meningkatkan pencapaian pendidikan negara perlu dipikul secara bersama oleh KPM, sekolah, guru dan keluarga kerana setiap pihak mempunyai peranan masing-masing.

Scroll to Top