Super El Nino dijangka bawa cuaca panas ekstrem hingga 40 darjah Celsius

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Fenomena El Nino berintensiti sangat kuat atau Super El Nino pada penghujung tahun ini dijangka membawa cuaca panas dan kering ekstrem di negara ini, dengan beberapa kawasan berpotensi merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei 2027.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata, berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa, kebarangkalian berlakunya fenomena berkenaan kini menghampiri 100 peratus.

Katanya, rekod meteorologi terdahulu menunjukkan episod El Nino sangat kuat sering dikaitkan dengan peningkatan suhu, cuaca kering dan risiko jerebu yang serius sebagaimana yang dialami negara ketika ini.

“Pengalaman daripada episod Super El Nino tahun 1997/1998 dan 2015/2016 menunjukkan bacaan suhu maksimum harian negara ketika itu lebih ekstrem berbanding tempoh lain.

“Ketika itu negara merekodkan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998 dan 39.3 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Batu Embun, Jerantut, Pahang pada 10 April 2016,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, terdapat kebarangkalian sekitar 70 peratus bahawa intensiti El Nino kali ini akan mengatasi kekuatan episod El Nino yang pernah direkodkan sejak 1950.

“Keadaan itu berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain pedalaman Sabah dan Sarawak, merekodkan suhu lebih tinggi daripada kebiasaan serta meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung musim Monsun Timur Laut pada Januari sehingga Mei 2027.

“Berdasarkan jangkaan terkini, terdapat kemungkinan lebih banyak stesen meteorologi di utara Semenanjung mencatatkan suhu sehingga 40 darjah Celsius ketika kemuncak musim panas antara Januari hingga Mei 2027,” katanya.

Justeru, beliau memberi amaran, peningkatan suhu dan cuaca panas yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko gelombang haba serta memberi kesan terhadap kesihatan, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang melakukan aktiviti di luar.

“Pengurangan taburan hujan dan tempoh kering yang lebih panjang berpotensi memberi tekanan kepada sumber air, termasuk kawasan tadahan dan empangan, selain menjejaskan sektor pertanian serta industri lain yang sensitif terhadap kekurangan air.

“Keadaan panas dan kering berpanjangan juga menjadikan kawasan vegetasi lebih mudah terbakar, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu, sama ada pada skala tempatan mahupun rentas sempadan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top