Tiga kereta warga Singapura dipecah masuk di Desaru

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Pelancong Singapura yang mengunjungi kawasan rekreasi di Desaru dinasihatkan lebih berhati-hati selepas tiga kenderaan berdaftar Singapura didakwa dipecah masuk di kawasan parkir sebuah taman tema air, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, mengesahkan tiga warga Singapura sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

“Polis turut bertemu pasukan keselamatan hotel di sekitar Desaru dan meminta mereka memperkukuh kawalan keselamatan, termasuk menambah anggota untuk memantau kawasan parkir kenderaan.

“Polis juga mengambil tindakan segera dengan meningkatkan rondaan dan menjalankan pemeriksaan terhadap individu serta kenderaan mencurigakan di lokasi tumpuan pelancong,” katanya.

Insiden itu mula mendapat perhatian selepas pengguna Facebook, Syafiq Maselan, mendakwa melihat tiga kenderaan berdaftar Singapura dengan cermin sisi atau belakang dipecahkan pada 6 September.

Dalam hantaran di kumpulan awam MY SG Road Trip, Syafiq mendakwa sebuah kenderaan yang terjejas diletakkan bersebelahan keretanya, sebuah lagi di seberang dan satu lagi di petak parkir berdekatan.

Beliau berkata, kenderaannya tidak disentuh walaupun terdapat peranti elektronik kanak-kanak yang kelihatan di tempat duduk belakang.

“Saya sangat bernasib baik kerana kereta saya tidak disentuh, terutama kerana terdapat peranti kanak-kanak di tempat duduk belakang,” katanya.

Syafiq turut mendakwa pelaku dipercayai menyasarkan beg yang ditinggalkan di dalam kenderaan.

Sementara itu, Adventure Waterpark Desaru Coast berkata pihak pengurusan sudah mengambil langkah segera untuk memperkukuh keselamatan susulan insiden berkenaan.

Dalam kenyataan semalam, taman tema itu memaklumkan pasukan keselamatannya sudah digerakkan dan pihaknya bekerjasama dengan pihak penguat kuasa bagi menyiasat kejadian.

Antara langkah tambahan yang diambil ialah meningkatkan kehadiran anggota keselamatan dan rondaan bergerak di kawasan tumpuan, memperketat pemantauan di parkir serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa.

Papan tanda keselamatan tambahan turut dipasang bagi mengingatkan pengunjung supaya memastikan kenderaan dikunci dan barang berharga tidak diletakkan dalam keadaan mudah dilihat.

Pengunjung juga digalakkan menggunakan kemudahan loker bersaiz besar yang disediakan untuk menyimpan barangan dengan lebih selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top