Kes rasuah RM1.6 juta di Johor: SPRM sahkan tiada EXCO, pegawai kerajaan negeri terbabit

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang individu berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa bernilai kira-kira RM1.6 juta di Johor tidak membabitkan mana-mana EXCO, pegawai mahupun agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri Johor.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan individu yang ditahan itu sebaliknya adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Lot Tapak Perumahan Generasi Ke-2 di Tanah Rancangan Tenggaroh 2, Johor.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan menasihatkan orang ramai dan mana-mana pihak supaya berhati-hati dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kes itu.

“Langkah itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, khususnya yang mengaitkan mana-mana individu atau pegawai daripada kerajaan negeri berkenaan,” katanya

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata agensi itu kekal komited untuk menjalankan siasatan kes terbabit secara profesional, bebas dan telus tanpa sebarang kompromi.

Beliau memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam perbuatan rasuah serta penyelewengan kuasa tanpa mengira kedudukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top