Helikopter FDS terhempas bawa empat petugas KKM – Dzulkefly

Kuala Lumpur: Helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) yang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Sarawak petang tadi, membawa empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.

“Pihak kementerian sedang dalam proses menghubungi waris serta ahli keluarga mangsa yang terlibat bagi memberikan sokongan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata status kesemua kru dan penumpang dalam kejadian itu serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan, serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pihak perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang giat dijalankan.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau situasi insiden ini dengan sangat rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat serta agensi penerbangan berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini dari lokasi kejadian,” katanya.

Memandangkan operasi SAR masih berjalan, Dzulkefly memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.

Sebarang perkembangan lanjut, katanya, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.

Beliau juga menzahirkan rasa amat pilu dan dukacita menerima perkhabaran kemalangan tragis itu daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

​”Ingatan dan doa saya, serta seluruh warga KKM, kini tertumpu sepenuhnya kepada kru, petugas kita, dan ahli keluarga mereka yang pastinya sedang melalui detik yang sangat meruntun jiwa ini,” katanya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, hari ini.

CAAM memaklumkan pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.

Berita berkaitan:

Helikopter terhempas: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia

Helikopter ‘flying doctor’ terhempas di Sarawak, status 5 dalam pesawat belum diketahui

Helikopter terhempas: PDRM gerak operasi SAR, 10 jam melalui darat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top