Armenia, Colombia: Seorang wanita berusia 67 tahun mendakwa berjaya membeli dua rumah hasil perniagaan menjual ‘gosip’ di kawasan kejiranannya.
Dalam temubual di media sosial bersama Lady Daniella, Miryam berkongsi kejayaannya dalam perniagaan itu dan menggelar dirinya sebagai profesional ‘chismosa’ – istilah Sepanyol bagi kaki gosip wanita.
Menurut laporan Gulf Today, Miryam yang menetap di bandar Armenia, wilayah Quindio, barat Colombia mengenakan bayaran kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kehidupan peribadi jiran mereka.
Dia menjadikan aktiviti memantau apa yang berlaku di sekelilingnya sebagai satu perniagaan, sama ada masalah hubungan dan dakwaan kecurangan hinggalah pertengkaran serta kejadian harian di kawasan kejiranan.
Semua maklumat itu dikumpul sebelum menjualnya kepada pelanggan yang ingin tahu.
“Saya suka gosip. Gosip adalah kehidupan, ia mengalir dalam darah saya,” katanya yang berpegang kepada pendirian bahawa gosip sentiasa wujud walau di mana pun, malah tidak pernah berakhir.
Kadar bayaran yang dikenakan bergantung pada cerita panas yang tersedia. Ia boleh bernilai beberapa ribu peso Colombia untuk maklumat ringkas manakala cerita yang lebih sensitif atau terperinci ditawarkan pada harga lebih tinggi.
Dakwanya, dia pernah memperoleh 700,000 peso Colombia (kira-kira RM900) bagi menyimpan maklumat bernilai tinggi mengenai kecurangan seorang suami.
Ia atas persetujuannya mengunci mulut mengenai lelaki itu yang didakwa akan melayani wanita lain setiap kali isterinya keluar melancong. – Agensi
Miryam berkata, pekerjaannya hanya menuntut dia memerhati, meluangkan masa di luar rumah untuk mengawasi kawasan sekeliling dan membawa buku nota bagi merekodkan setiap butiran yang diperoleh.
Di dalam rumahnya, Miryam turut menunjukkan sebuah papan yang dipenuhi gambar dan nota mengenai jiran-jiran termasuk beberapa gambar yang didakwa merakam individu terbabit dalam hubungan luar nikah untuk dijadikan sebagai arkib peribadi.
Walau dikritik jiran kerana didakwa menceroboh privasi, Miryam yang mendapat jolokan “Ratu Gosip” tetap yakin meneruskan perniagaannya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

