Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima individu dalam nahas helikopter yang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, Sarawak, masih giat dijalankan.
Kejadian berlaku dalam 3.32 petang
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam satu kenyataan, kejadian itu disahkan berlaku pada pukul 3.32 petang dengan maklumat awal menunjukkan lima individu berada dalam helikopter berkenaan.
“Helikopter tersebut merupakan milik sebuah syarikat yang disewakan untuk memberikan perkhidmatan dokt or udara di tiga lokasi dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, Marudi, Sarawak.
“Status kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi SAR berdepan cabaran susulan lokasi kejadian yang agak terpencil dan mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan darat dari Marudi.
“Perkhidmatan udara menggunakan helikopter tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang oleh CAAM dari Pengkalan Udara PDRM Kuching,” ujarnya.
Operasi bergantung kepada orang kampung
Zainal berkata, operasi SAR ketika ini bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota Rela serta polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.
“Pasukan mencari dan menyelamat akan seberapa segera tiba di lokasi kejadian. Butiran penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.
CAAM memaklumkan pihaknya menerima notifikasi mengenai kejadian tersebut daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) pada pukul 3.58 petang.
Helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) dengan lima individu berada di dalamnya termasuk juruterbang.
Sumber: Facebook Polis Sarawak

