SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan menerima peningkatan gaji sebanyak S$1.4 juta (RM4.5 juta) dalam pakej gaji tahunannya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan gaji itu akan disumbangkan kepada badan amal dalam tempoh lima tahun akan datang.
Wong berkata, kenaikan gaji menteri diperlukan untuk menarik lebih ramai tenaga kerja berkaliber tinggi.
“Kerajaan akan terus membayar saya gaji yang ditetapkan di bawah kerangka tersebut kerana begitulah sistem kita berfungsi.
“Saya kemudiannya akan menyumbangkan kenaikan itu kepada tujuan kebajikan yang sesuai,” kata Wong di Parlimen hari ini..
Kerajaan sebelum ini berhujah bahawa pemberian gaji tinggi kepada menteri dapat menghalang amalan rasuah.
Namun, langkah itu mencetuskan kritikan di Singapura yang berdepan kebimbangan mendalam mengenai keselamatan pekerjaan dan peningkatan kos sara hidup.
Malah, sebelum kenaikan gajinya berkuat kuasa, Wong masih jauh mengatasi pemimpin dunia lain sebagai pemimpin dengan gaji tertinggi.
Beliau kini menerima gaji tahunan sebanyak S$2.2 juta (RM7 juta) dan jumlah itu akan meningkat lebih 60 peratus kepada S$3.6 juta (RM12 juta).
Dalam senarai pemimpin dunia, tempat kedua ialah Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee yang memperoleh kira-kira AS$719,000 (RM3 juta), diikuti Presiden Switzerland, Guy Parmelin dengan AS$606,000 (RM4 juta).
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperoleh AS$400,000 (RM1.6 juta) setahun, manakala Perdana Menteri Britain, Andy Burnham menerima AS$230,000 (RM934,000). – AGENSI
