MB Negeri Sembilan nafi Ahmad Zahid terbabit usaha turunkan Tuanku Muhriz

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan dakwaan pembabitan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.

“Saya sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Ismail yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu, berharap isu yang membabitkan adat di Negeri Sembilan ini dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata, langkah itu penting demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

Kenyataan itu dikeluarkan Ismail, susulan laporan yang mendakwa beberapa pemimpin tertinggi UMNO hadir dalam pertemuan Ismail bersama Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dan Undang Yang Empat di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.

Dalam pertemuan itu, Ismail didakwa menandatangani proklamasi bagi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada keesokannya, Ismail dalam kenyataan media menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Beliau menegaskan bahawa fokusnya kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top