nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Doktor Ainul Baraah Kamaruddin, salah seorang penumpang dalam helikopter yang terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di sini, petang tadi menyatakan hasrat mahu menyambung pengajian untuk menjadi doktor pakar.
Perkara itu dimaklumkan kepada bapanya, Kamaruddin Salleh, 69, iaitu sehari sebelum Allahyarham kembali ke Sarawak selepas seminggu bercuti di kampung halaman di sini.
“Malam sebelum pulang, dia (Dr Ainul) kata kepada saya mahu sambung belajar untuk menjadi doktor pakar kerana mahu pulang berkhidmat di Semenanjung.
“Saya menyokong dia mahu menyambung pengajian namun pada masa sama saya menasihatkan supaya dia meminta izin suaminya sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya tidak menyangka itu perbincangan terakhir kami,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, anak keempat daripada lima beradik itu sebelum ini bertugas di Hospital Tanah Merah (HTM) dan berpindah ke Sarawak hampir dua tahun lalu bagi mengikuti suaminya yang bertugas sebagai guru di Miri.
“Arwah memang selalu menaiki helikopter kerana perlu pergi ke kawasan pedalaman. Kami redha namun pada masa sama masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, sebuah helikopter BO-105 membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport) di Sarawak, petang tadi.
Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.
CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, , PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
