audreymd@nst.com.my
Georgetown: Kedai dobi beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah adalah antara premis yang disasarkan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Gat Lebuh Macallum di sini, Isnin lalu.
Operasi diketuai Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijalankan bersama Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Komunikasi Korporat dan Hubungan Awam MBPP, serta pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
MBPP memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati kedai dobi itu beroperasi tanpa lesen perniagaan sah dikeluarkan oleh pihak majlis.
“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan dikendalikan oleh pekerja asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan dijalankan.
“Perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk tindakan lanjut di bawah undang-undang dan bidang kuasa yang berkaitan,” katanya.
MBPP turut menyita 38 bekas kain dan peralatan perniagaan yang diletakkan di sepanjang kaki lima sehingga menghalang laluan awam.
Barangan yang disita itu dibawa ke stor penguatkuasaan MBPP untuk tujuan dokumentasi dan rekod.
“Pita sitaan juga dipasang di bahagian hadapan dan belakang premis susulan notis bertulis yang dikeluarkan oleh MBPP di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Pemilik dan pekerja dilarang sama sekali daripada menanggalkan atau merosakkan lak (seal) berkenaan, menceroboh masuk ke dalam premis, atau meneruskan aktiviti perniagaan di luar premis,” tambahnya.
Sementara itu, KPDN mendapati mesin penimbang di premis itu telah tamat tempoh tentusah. Ia satu kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan dikenakan kompaun sebanyak RM200.
Pemeriksaan juga mendapati tiada paparan harga disediakan untuk makluman pelanggan mengenai kadar perkhidmatan dobi tersebut, yang juga satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, membawa kepada kompaun sebanyak RM300.
© New Straits Times Press (M) Bhd
