am@hmetro.com.my
Ipoh: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak meningkatkan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan termasuk menggunakan dron susulan keadaan jerebu dalam fenomena Super El Nino.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia melalui pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Operasi Kebakaran Tanah Gambut menerusi rondaan di lokasi panas (hotspot).
Katanya, teknologi dron dimanfaatkan bagi menguatkuasakan hukuman di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, yang memperuntukkan kompaun antara RM500,000 dan RM1 juta dan kerjasama dengan agenda berkaitan.
“JAS turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan bomba bagi memastikan tiada pembakaran terbuka yang memburukkan kualiti udara dan indeks pencemaran,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Saarani (BN-Kota Tampan) berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) berkenaan pelan tindakan menyeluruh kerajaan negeri bagi menghadapi Super El Nino yang dijangka memberi kesan termasuk kepada alam sekitar.
Saarani berkata lagi, Super El Nino yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan mendorong kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan termasuk dalam aspek pengairan bekalan air, pertanian dan kesihatan awam.
Katanya, dari segi bekalan air, Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memantau paras air di empangan utama negeri khususnya Empangan Bukit Merah di Kerian dan Empangan Sultan Azlan Shah di Kinta secara berterusan.
Menurutnya, LAP juga mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan pelan mitigasi berperingkat, merangkumi mengoptimumkan operasi Loji Rawatan Air (LRA), pengezonan semula bekalan, mobilisasi lori tangki air, penempatan tangki statik dan penggunaan sumber air alternatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd
