puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini mahu meraikan kepelbagaian bakat dalam industri muzik tanah air.
Malam kemuncak edisi Jubli Perak yang diadakan buat julung kali di bumi Kenyalang itu akan dikendalikan pengacara suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, pemilihan hos, penyampai anugerah dan persembahan artis ini dilakukan secara bersama dengan rakan penyiar, TVS.
“Untuk pemilihan hos, penyampai anugerah dan juga artis yang membuat persembahan, semuanya dipilih bersama dengan pihak TVS.
“Kami percaya hos, Scha Alyahya dan Awal Ashaari akan memberi gandingan yang terbaik,” katanya pada sidang media AIM25, di sini, hari ini.
Pentas utama AIM25 turut dijanjikan dengan persembahan hebat daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama anak sulungnya, Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Estranged, Fajar Noor, Firdhaus, Hael Husaini, Hafiz Suip, HUJAN, Luqman Podolski, Marsha Milan serta Mimifly.
Menambah warna pada malam kemuncak itu, empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim turut diberi ruang mempersembahkan bakat mereka.
Dalam pada itu, AlM25 turut menampilkan barisan penyampai anugerah yang terdiri daripada artis dan personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan Malaysia.
Antara barisan penyampai anugerah ialah Amir Jahari, Wany Hasrita, Nisa Kasnon, Anggrek, Azeva, Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnyboii, Iman Troye, HUJAN, Noraniza ldris, Lah Ahmad, Hazama, Dr Soo Wincci dan Mila Jirin.
Gabungan pengacara, barisan penghibur dan penyampai anugerah ini dirangka bagi mewujudkan pengalaman malam anugerah yang lebih menarik dan dinamik, selain mencerminkan keluasan serta kepelbagaian industri muzik Malaysia.
Edisi Jubli Perak AlM25 direalisasikan menerusi sokongan padu daripada kerajaan, rakan strategik serta rakan industri untuk membawa penganjuran anugerah muzik terulung Malaysia ini ke Sarawak buat kali pertama.
Bukan hanya itu, AIM25 turut menerima Geran Acara Pelancongan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bagi menyokong penganjuran edisi bersejarah ini di Kuching, Sarawak.
Malam anugerah ini turut menerima peruntukan sebanyak RM950,000 daripada Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang akan disalurkan kepada sejumlah 16 pemenang AlM25 melalui MyCreative Ventures (MyCV).
Malam kemuncak AIM25 dijadualkan bermula jam 9 malam, didahului dengan segmen karpet merah bermula jam 8 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
