Riyadh: Kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran hari ini mengulangi amaran mereka terhadap penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, beberapa jam selepas lapangan terbang itu mengumumkan akan membuka semula dua terminal untuk penerbangan selepas penggantungan operasi awal bulan ini.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, lapangan terbang tersebut kekal sebagai “sasaran ketenteraan” dan operasi yang menyasarkan lapangan terbang itu akan diteruskan.
Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan, kakitangan lapangan terbang dan pengembara supaya tidak menggunakan kemudahan tersebut.
Lewat Sabtu, pihak Lapangan Terbang King Khalid memaklumkan bahawa Terminal 1 akan dikhususkan untuk penerbangan domestik, manakala Terminal 2 untuk penerbangan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan nasional bermula hari ini.
Operasi di lapangan terbang itu dihentikan pada 10 Oktober lalu berikutan satu serangan, yang diakui dilakukan oleh kumpulan Houthi, yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 lain malah dianggap insiden paling membawa maut di Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad.
Penggantungan operasi tersebut kemudian dilanjutkan dua hari kemudian.
Kumpulan Houthi telah melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan minyak di Arab Saudi, menjadikan negara itu sebagai titik tekanan dalam konflik yang lebih luas.
Arab Saudi baru-baru ini telah meningkatkan penglibatan ketenteraannya di Yaman dengan melancarkan serangan terhadap kumpulan Houthi serta menyokong serangan balas kerajaan, selepas kumpulan Houthi merampas wilayah strategik di sepanjang pesisir Laut Merah pada bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




