am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Identiti empat termasuk seorang bayi berusia setahun yang maut selepas pacuan empat roda (4WD) merempuh belakang lori di Kilometer 107, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Yong Peng, petang semalam, terdiri daripada datuk dan nenek serta dua cucunya.
Mereka ialah Ab Shukor Athan, 68, isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta dua cucunya, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie yang berusia setahun.
Kesemua mereka parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Yong Peng.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata ibu bapa kepada dua beradik terbabit, iaitu Jumie Julong, 35, dan Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32, cedera di kepala dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Beliau berkata, dua lagi anak kepada Jumie yang juga pemandu Ford Ranger, iaitu Muhammad Zariff Hakimie, 2, dan Muhammad Zafrul Hakimie, 3, turut cedera parah dan kini menerima rawatan di hospital sama.
“Mangsa lain yang cedera ialah pemandu dan penumpang Toyota Vios, Chin Nyet Boon, 46, dan Yong Ah Moi, 81, manakala pemandu lori, Mohd Nadzri Abd Wahab, 31, terselamat,” katanya ketika dihubungi.
Shahrulanuar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Ford Ranger dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pemandu 4WD itu secara tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar belakang sebelah kanan lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin.
“Kemalangan berlaku pada jam 5.50 petang membabitkan tiga kenderaan, iaitu 4WD, Toyota Vios dan lori. Akibat pelanggaran itu, 4WD terbabit berpusing dan dilanggar sebuah Toyota Vios dari belakang,” katanya.
Katanya lagi, kesemua mangsa yang maut dibawa ke HSNI untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




