PHUKET – Sekumpulan penduduk Phuket mendesak pihak berkuasa Thailand membatalkan sambutan Tahun Baharu Yahudi yang dirancang berlangsung di pulau peranginan itu pada Jumaat susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan ketika konflik di Asia Barat masih berterusan.
Pemimpin Kumpulan Melindungi Tanah Phuket, Saychol Nhuchet menyerahkan petisyen kepada pihak berkuasa wilayah pada Selasa bagi membantah penganjuran sambutan Rosh Hashanah oleh komuniti Yahudi tempatan di dua lokasi sekitar Patong, daerah Kathu.
Menurut Saychol, bantahan tersebut bukan berasaskan diskriminasi agama atau kewarganegaraan, sebaliknya didorong kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, pelancong serta imej Phuket sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Beliau berkata, perhimpunan besar ketika konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Israel dan Iran, boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing.
Menurutnya, Phuket tidak seharusnya terheret dalam konflik antarabangsa.
Rosh Hashanah dijadualkan disambut di pusat komuniti Chabad Patong dan sebuah hotel di kawasan sama pada Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, kira-kira 600 orang dijangka menghadiri sambutan di Chabad Patong, manakala 400 lagi di hotel berkenaan.
Penganjur turut memohon perlindungan polis sepanjang acara berlangsung.
Ketua Daerah Muang, Siwatch Rawangkul yang menerima petisyen bagi pihak Gabenor Phuket berkata, pihak berkuasa turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan berhubung acara tersebut.
Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan mengambil kira pandangan penduduk tempatan.
Pada masa sama, Siwatch menegaskan Thailand mengalu-alukan kedatangan semua pelancong asing dan bertanggungjawab memastikan keselamatan mereka.
Saychol memberi amaran kumpulannya bersedia meningkatkan kempen membantah acara tersebut sekiranya pihak berkuasa mengabaikan tuntutan mereka dan kebimbangan penduduk mengenai keselamatan.
Bantahan itu berlaku ketika perhatian semakin tertumpu kepada beberapa insiden membabitkan pelancong Israel di destinasi peranginan Thailand termasuk Phuket, Koh Samui dan Koh Phangan.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul mengarahkan seorang warga Israel, Yaacov Ohayon meninggalkan Thailand selepas disabitkan kesalahan membuat ancaman terhadap pemilik Samui Exotic Park.
Pemilik bersama premis itu yang merupakan warga Perancis kemudiannya turut diarahkan keluar dari Thailand berhubung insiden membabitkan pelancong Israel.
Rentetan kejadian tersebut, Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow turut mengadakan pertemuan dengan Duta Israel ke Thailand, Alona Fisher-Kamm dan meminta kedutaan berkenaan mengingatkan pelancong Israel supaya menghormati budaya serta tradisi tempatan. – Agensi
