SEPANG: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an maut selepas motosikal yang ditunggangi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 47.1 Jalan Cyberjaya-Putrajaya, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.32 pagi itu, mangsa yang bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas swasta disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna biru bersama seorang pembonceng wanita warga asing berusia lingkungan 40-an.
Katanya, ketika kejadian kedua-dua mereka dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, dipercayai penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu terbabas dan bergeser dengan besi penghadang jalan yang berada di sebelah kiri lorong kecemasan sebelum terjatuh di atas permukaan jalan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pembonceng motosikal terbabit mengalami kecederaan pada muka dan leher serta sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
Jelasnya lagi, mangsa mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh manakala pembonceng yang bekerja di pusat jagaan warga emas swasta itu merupakan warga asing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – UTUSAN
