UMNO tidak memerlukan perikatan politik baharu dan akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tak bermakna UMNO tutup pintu kerjasama politik
Walau bagaimanapun, menerusi kenyataan dalam ucapan di perasmian sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), beliau menyatakan pendirian itu tidak bermakna UMNO menutup pintu kepada kerjasama politik dengan pihak lain, namun sebarang kerjasama perlu bersifat tidak mengikat kebebasan parti menentukan hala tuju politiknya sendiri.
“UMNO akan kekal dengan BN, kini dulu dan selamanya.
“Segala kerjasama mestilah luwes. Persefahaman dan kerjasama yang longgar, bukan perjanjian yang mengikat,” katanya.
Mohamad berkata UMNO juga tidak mahu mengikat mana-mana pihak.
“Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya,” tegasnya.
Beliau berkata UMNO tidak mahu kelangsungan sokongan Melayu kepadanya bergantung kepada naungan atau bantuan rakan politik.
Katanya, UMNO menghargai bantuan pihak yang pernah bekerjasama dengannya, namun persoalannya sampai bila parti itu perlu bergantung kepada ‘budi baik’ rakan politik.
Mohamad juga menambah bahawa parti ini perlu menggunakan pengalamannya untuk membina semula sokongan kukuh dalam kalangan orang Melayu serta kembali menjadi pihak yang mampu memberikan perlindungan dan naungan, bukannya mengharapkan ihsan pihak lain.
Sumber: Facebook UMNO Online
