KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City FC meneruskan langkah dalam saingan Piala FA musim ini apabila mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menyingkirkan Perak FA menerusi kemenangan agregat 1-0 dalam pusingan 16 terbaik.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi, skuad The City Boys sekadar mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi kedua.
Keputusan seri itu sudah memadai buat anak buah Datuk Dollah Salleh untuk melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ketika bertandang ke Manjung pada 1 September lalu.
Jaringan tunggal yang dihasilkan kapten berpengalaman, Paulo Josue dalam perlawanan pertama menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan dan menghadiahkan tiket berharga buat wakil ibu kota itu.
Pada aksi di Cheras menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan pendekatan menyerang sejak wisel permulaan, masing-masing berusaha mencari gol awal bagi mengubah corak perlawanan.
Bagaimanapun, disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pertahanan kedua-dua pasukan berjaya mengekang setiap percubaan berbahaya, sekali gus memastikan keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat 90 minit permainan.
Menanti KL City di suku akhir ialah pemenang satu lagi pertembungan pusingan 16 terbaik antara Terengganu FC dan DPMM FC yang masih mempunyai satu lagi pertembungan timbal balik.
Pada aksi pertama menyaksikan DPMM FC tewas 2-3 di tangan Sang Penyu di laman sendiri.-UTUSAN
