‘Jangan sesekali memikirkan konstituen kita hanya Melayu’- Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Ruang kerjasama antara parti-parti Melayu dalam pilihan raya perlu dilaksanakan secara berhati-hati tanpa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli dan pemimpin UMNO tidak boleh melihat konstituen parti itu hanya terdiri daripada orang Melayu semata-mata.

“Jangan sesekali memikirkan konstituen kita hanya Melayu.

“Tindakan dan perilaku kita jangan sesekali membuka ruang kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia yang bukan Melayu serta rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Menurut Mohamad, landskap politik negara kini telah berubah dan memerlukan sokongan pelbagai kaum serta kerjasama parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Ingat, apabila politik Malaysia menjadi kacau-bilau, kita memerlukan keyakinan masyarakat bukan Melayu dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak untuk membentuk kerajaan.

“Mereka kini menjadi kuasa penentu. Era menganggap mereka sebagai deposit tetap politik telah lama berlalu,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan tersebut perlu difahami oleh semua pihak kerana peranan pengundi bukan Melayu serta parti-parti dari Malaysia Timur semakin penting dalam menentukan hala tuju politik negara.

Dalam pada itu, Mohamad berkata terdapat kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat bukan Melayu dan rakan politik di Sabah serta Sarawak terhadap arah tuju politik negara sekiranya politik Melayu-Islam dilihat terlalu dominan.

“Ramai dalam kalangan bukan Melayu dan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak yang bimbang ke mana hala tuju Malaysia apabila politik Melayu-Islam menjadi domain yang terlalu menonjol,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO akan terus berpegang kepada prinsip politik sederhana atau sentrisme (centrism) sebagai teras perjuangan parti.

“Penegasan saya ialah, UMNO akan selamanya ‘centrist’. Ideologi kita ialah sentrisme,” katanya.

Mohamad sebelum ini turut menegaskan bahawa UMNO tidak akan condong kepada ideologi kiri mahupun kanan, sebaliknya terus mengambil pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan kestabilan politik serta keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Scroll to Top