Rome: AS Roma bakal menggunakan pentas Liga Juara-Juara untuk menyampaikan mesej solidariti kepada mangsa tragedi banjir besar di Nepal apabila memakai jersi khas pada aksi menentang Fenerbahce di Istanbul, Khamis ini.
Jersi berkenaan akan memaparkan logo Program Makanan Sedunia (WFP) di bahagian depan, selain mesej ‘Together for Nepal’ sebagai tanda sokongan terhadap usaha bantuan kemanusiaan di negara berkenaan.
Langkah itu dibuat selepas Roma tidak dibenarkan mempamerkan logo penaja utama mereka pada jersi berikutan syarikat berkenaan terbabit dalam industri pertaruhan sukan yang tidak dibenarkan mengiklankan perkhidmatan di Turkiye.
“Pasukan pelawat akan turun ke padang dengan logo Program Makanan Sedunia (WFP) di bahagian depan jersi mereka,” kata Roma dalam satu kenyataan.
Banjir kilat pada 26 Ogos lalu yang berpunca daripada pergerakan glasier dan batuan di kawasan sempadan China-Nepal mengorbankan sekurang-kurangnya 1,410 nyawa, manakala 5,651 lagi masih dilaporkan hilang.
Lebih menarik, jersi yang dipakai pemain kendalian Gian Piero Gasperini itu tidak akan sekadar menjadi simbol solidariti.
Roma mengesahkan semua jersi berkenaan akan dilelong selepas perlawanan dengan hasil kutipan disalurkan kepada usaha bantuan WFP untuk membantu rakyat Nepal yang terjejas akibat bencana itu.
“Jersi yang dipakai pemain Gian Piero Gasperini sepanjang perlawanan akan dilelong dan semua dana yang dikumpulkan akan disalurkan bagi menyokong rakyat Nepal menerusi usaha bantuan WFP,” kata kelab itu.
WFP yang beribu pejabat di Rome ialah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi tumpuan kepada bantuan makanan dan kemanusiaan di seluruh dunia.
Bagi Roma, aksi Liga Juara-Juara menentang Fenerbahce bukan sekadar medan memburu keputusan positif, sebaliknya peluang menggunakan populariti bola sepak untuk membantu meningkatkan kesedaran terhadap tragedi yang melanda Nepal.
© New Straits Times Press (M) Bhd
