Pelakon Noel Clarke didakwa enam kesalahan seksual

London: Pelakon dan penerbit filem British, Noel Clarke didakwa atas enam kesalahan seksual, termasuk dua pertuduhan serangan seksual, kata Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS) semalam.

Menurut CPS, Clarke didakwa susulan dakwaan salah laku seksual oleh lima wanita terhadapnya antara 2007 hingga 2016.

Lelaki berusia 50 tahun itu turut didakwa atas tiga pertuduhan voyeurisme (perbuatan mengintip) dan satu pertuduhan mendedahkan alat sulit serta dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Westminster di London pada 21 Oktober.

Clarke terkenal kerana menulis skrip dan membintangi ‘Kidulthood’ (2006), yang meneroka buli, penyalahgunaan dadah dan keganasan ekstrem dalam kalangan orang muda di London, selain kerana peranan berulang dalam rancangan sains fiksyen ‘Doctor Who’.

Akhbar The Guardian pada tahun 2021 melaporkan dakwaan salah laku seksual yang dibuat terhadap Clarke oleh beberapa wanita, yang dinafikan Clarke.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top