am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), FELDA serta hala tuju kerjasama politik dijangka antara perkara yang mahu diketengahkan akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kepemimpinan parti perlu memberi penjelasan berhubung isu RCI TH kerana ia membabitkan persepsi rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, perkembangan itu turut menimbulkan persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej parti, justeru pucuk pimpinan perlu menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadap UMNO.
“Apa yang kami lihat di peringkat akar umbi, persepsi negatif mula mempengaruhi imej UMNO. Jadi, pucuk pimpinan harus menjawab tohmahan dilemparkan.
“Apabila ada yang ditahan dalam isu itu, mereka terus dianggap bersalah. Harus diingat bahawa apabila direman, tidak bermaksud mereka bersalah.
“Sekiranya mereka bersalah, biar mereka dihakimi secara adil dan dihukum mengikut undang-undang negara. Jangan isu itu digunakan parti lain bagi meletakkan kesalahan pada UMNO,” katanya ketika dihubungi.
Zulkifli berkata, isu berkaitan FELDA juga perlu diberi perhatian pada PAU kali ini.
Beliau turut membangkitkan tindakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang didakwa terus menyerang UMNO selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Bagi kami di peringkat akar umbi, kenapa perlu serang UMNO sehingga ke peringkat pusat sedangkan persaingan hanya di peringkat negeri, memandangkan masing-masing sudah berikrar untuk bersama sehingga tamat penggal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kepimpinan UMNO perlu menjelaskan kepada akar umbi status hubungan parti itu dengan mana-mana gabungan politik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Adalah penting bagi peringkat akar umbi mengetahui status hubungan UMNO bersama siapa sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.
“Di peringkat akar umbi, kami perlu memperkemaskan jentera supaya bersedia menghadapi PRU sekiranya ia diadakan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, akar umbi sudah lama mendambakan penyatuan dengan PAS atau Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keputusan pucuk pimpinan UMNO untuk bersama PN pada PRN sebelum ini memberi suntikan semangat baharu kepada jentera parti di semua peringkat.
“Kami di peringkat akar umbi berharap kerjasama itu akan berkekalan sehingga PRN akan datang selain PRU nanti,” katanya.
Azhari berkata, pihaknya mahu melihat penyatuan orang Melayu melalui kerjasama UMNO dan PAS sekali gus meraih semula kepercayaan masyarakat Melayu.
“Apa yang berlaku sebelum ini sudah berlalu. Sebaiknya kita pandang ke hadapan dan fokus pada kelangsungan perjuangan dalam kerjasama ini.
“Saya melihat kerjasama antara BN-PN akan memberi impak yang kuat dan positif bagi kebanyakan kerusi yang dipertandingkan. Ia boleh dilihat melalui kemenangan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini,” katanya.
Beliau menyifatkan kemenangan BN dalam dua PRN berkenaan sebagai perkembangan positif yang mampu menyemarakkan semangat ahli UMNO menjelang PAU 2026.
Katanya, kejayaan itu menjadi suntikan semangat kepada seluruh anggota UMNO untuk terus memperkukuhkan gerak kerja parti.
“Saya bersyukur dan percaya kemenangan PRN Johor dan Negeri Sembilan membawa gelombang positif untuk persidangan pada kali ini.
“Saya juga berharap gelombang ini akan berterusan hingga ke PRN Melaka. Kita mahu semangat dan keyakinan pada ketika ini terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
