Nahas helikopter: Segerakan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan- Dr Zaliha

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara susulan nahas helikopter yang membawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sarawak.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, insiden itu mengingatkan mengenai cabaran dan risiko yang dihadapi warga kesihatan ketika melaksanakan tugas, khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar diakses.

Menurut beliau, isu kebajikan dan imbuhan petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) turut kembali mendapat perhatian susulan kejadian berkenaan.

“Dalam konteks ini, saya mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan usaha ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.

“Keperluan terhadap suatu mekanisme yang lebih khusus bagi mengurus tenaga kerja kesihatan telah pun dikenal pasti dalam proses reformasi yang digariskan menerusi Kertas Putih Kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Dr Zaliha, sektor kesihatan mempunyai keperluan dan cabaran tersendiri termasuk dalam aspek pengambilan, penempatan, skim perkhidmatan, pembangunan kerjaya, imbuhan dan kebajikan tenaga kerja.

Katanya, isu berkaitan elaun petugas FDS yang telah dikemukakan untuk pertimbangan sejak November 2025 merupakan antara contoh yang menunjukkan perlunya suatu mekanisme lebih khusus dan responsif dalam menangani keperluan warga kesihatan.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu isu mendapat perhatian umum sebelum tindakan dapat digerakkan sebaliknya, perlu ada suatu struktur yang mampu meneliti, menyelaras dan menangani keperluan tenaga kerja kesihatan secara berterusan, tersusun dan lebih pantas,” jelas bekas Menteri Kesihatan itu.

Beliau berkata, isu sumber manusia merupakan antara cabaran terbesar dalam memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan baik dan mampu memenuhi keperluan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu dibawa ke peringkat seterusnya dengan lebih segera.

Dalam pada itu, Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, beliau akan terus menyokong dan mengangkat langkah reformasi yang dapat memperkukuh sistem kesihatan negara.

Katanya, usaha itu termasuk memastikan kebajikan dan kepentingan warga kesihatan diberikan perhatian sewajarnya.

“Warga kesihatan merupakan tunjang kepada sistem kesihatan negara. Justeru, kita perlu memastikan sistem yang mengurus mereka juga mempunyai keupayaan untuk memahami cabaran yang mereka hadapi serta bertindak dengan lebih tangkas terhadap keperluan mereka.

“Saya berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan serius terhadap cadangan ini dan menetapkan hala tuju yang jelas ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan,” katanya.

Dr Zaliha sebelum itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter serta seluruh warga KKM yang terkesan dengan kejadian berkenaan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Selasa mengesahkan lima individu berada di dalam helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang.

CAAM berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Helikopter buatan Jerman itu dikenal pasti mempunyai nombor pendaftaran 9M-LLF.

Nahas tersebut mengorbankan Kapten Kapten Zainol Afiq Sham Bee, pegawai perubatan, Dr Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan, Alexson Adit, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya yang dalam perjalanan ke Long Lellang bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas – CAAM

Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak

Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa

Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia – Keluarga

Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia

Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq – Adik ipar mangsa

Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka – Bapa

‘Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman’

Nahas helikopter: ‘Dr Ainul mahu sambung belajar jadi doktor pakar’ – Bapa kongsi perbualan terakhir

Nahas helikopter: ‘Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga’ – Ibu

Scroll to Top