Malaysia hanya mampu sasar enam pingat emas

PETALING JAYA: Sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar bersandarkan kepada pencapaian edisi Hangzhou 2023, sebaliknya dibuat berdasarkan penilaian prestasi semasa atlet serta kekuatan pesaing di pentas Asia.

Seramai 352 atlet dan 185 pegawai akan menggalas cabaran negara di Aichi-Nagoya dengan Malaysia menyasarkan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa, menjadikan keseluruhan 33 pingat daripada 156 acara dalam 30 jenis sukan yang disertai.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, sasaran tersebut ditetapkan selepas pihaknya menjalankan penilaian secara berterusan menerusi laporan prestasi bulanan setiap sukan.

“Setiap bulan kita pantau, ini adalah pemantauan yang terkinilah selepas kita buat perbincangan dengan pihak persatuan, dengan jurulatih berdasarkan prestasi semasa.

“Kita ada peluang lagi untuk mendapat pingat-pingat tapi bergantung kepada prestasi atlet semasa pertandingan nanti. Sebagaimana sedia maklum, persaingan di Sukan Asia dan Sukan Para Asia adalah begitu tinggi.

“Sesetengah sukan atau acara itu hampir menyamai persaingan di temasya Sukan Olimpik ataupun Paralimpik,” katanya.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2023, Malaysia membawa pulang enam emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk menghuni tangga ke-14 keseluruhan.

Dalam perkembangan sama, Jefri berkata, pendekatan menetapkan sasaran berdasarkan jumlah keseluruhan pingat tidak lagi digunakan, sebaliknya MSN kini memberi penekanan kepada sasaran pingat emas.

Katanya, pendekatan itu akan diteruskan bagi temasya akan datang selaras dengan keputusan pengurusan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN.

“Tahun depan kita ada Sukan SEA di mana kita dah umumkan kita nak jadi juara keseluruhan, dan naib juara untuk Sukan Para ASEAN. Jadi memang sasaran itu akan tetap kekal,” katanya.

Pendekatan menetapkan sasaran emas itu mula digunakan kembali oleh kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2026 yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos lalu. – UTUSAN

Scroll to Top