Afnan Hamimi hadir PAU2026, tanda kunjungan balas Akmal di Muktamar PAS

Afnan Hamimi hadir PAU2026, tanda kunjungan balas Akmal di Muktamar PAS

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden hari ini hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sebagai kunjungan balas selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS minggu lalu.

Afnan Hamimi hadir PAU2026, tanda kunjungan balas Akmal di Muktamar PAS

Afnan hadir mengenakan baju Melayu berwarna putih lengkap bersampin hijau yang tertera logo PAS ketika menyertai perhimpunan berkenaan.

Kehadiran beliau dibuat selepas Akmal bersama kira-kira 25 delegasi Pemuda UMNO berkunjung ke Muktamar Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar PAS ke-72 di Kelantan pada 3 September lalu.

Afnan sebelum ini mengesahkan Pemuda PAS akan menghadiri PAU 2026 selepas menerima jemputan daripada Pemuda UMNO.

“Hari tu kita jemput ke muktamar, depa mai. Kali ni depa jemput ke PAU, kita pi. Demi penyatuan, kami hadir,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Hantaran berkenaan turut mendapat respons Akmal yang menyambut baik kehadiran delegasi Pemuda PAS ke perhimpunan UMNO itu.

Pada Muktamar Dewan Pemuda PAS minggu lalu, Afnan turut menyatakan penghargaan terhadap kehadiran Akmal dan delegasi Pemuda UMNO.

Dalam ucapannya ketika itu, beliau menegaskan bahawa usaha ke arah penyatuan umat tidak wajar sekadar menjadi slogan atau omongan kosong, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi tindakan yang ikhlas.

Kunjungan timbal balik antara kedua-dua sayap parti berkenaan hadir ketika hubungan UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian susulan perkembangan politik semasa.

Perkembangan itu termasuk persefahaman yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan lalu, yang dilihat berpotensi diperluaskan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Scroll to Top